Selasa, 2 Februari 2016 | 11:26am

Peningkatan 9 peratus kes denggi di Kedah pada Januari

ALOR SETAR: Kedah mencatat peningkatan sembilan peratus iaitu 109 kes bagi tempoh 1 hingga 30 Januari lalu berbanding 100 kes yang direkodkan untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata tiga daerah menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh sama tahun lalu ialah Baling (29 kes berbanding lima), Kuala Muda (42 kes berbanding 15) dan Pendang sebanyak dua kes.

"Beberapa daerah pula menunjukkan penurunan kes iaitu Kulim, Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Padang Terap, Yan dan Sik," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dr Norhizan berkata, setakat ini tiada kes kematian akibat demam denggi dilaporkan.

Katanya, bagi tempoh itu, pihaknya juga melakukan semburan untuk membunuh nyamuk aedes di 26,975 premis dan 16,178 premis diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik.

"Jabatan juga mengeluarkan 223 kompaun dengan nilai RM111,500 mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X