Ahad, 17 Januari 2016 | 1:31pm

Gempur denggi berterusan 2 minggu

Gerak gempur Kempen Cegah Aedes .
Gerak gempur Kempen Cegah Aedes .

IPOH: Gerak gempur Kempen Cegah Aedes di beberapa kawasan panas denggi di bandar raya ini diadakan secara berterusan selama dua minggu.

Kempen bermula hari ini memberi tumpuan di tiga kawasan panas denggi di daerah Kinta, iaitu di Taman Mewah, Taman Dermawan dan Taman Indra.

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 5 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Low Guo Nan, berkata kempen bersepadu itu dijayakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan, Bahagian Kesihatan MBI, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta JPP.

"Ia bertujuan mewujudkan kesedaran bahaya denggi kepada komuniti dan mencegah wabak di kawasan panas denggi. Mengikut laporan, sebanyak 13 kes denggi dilaporkan di Taman Mewah dan lima kes di Taman Dermawan.

"Jadi, kita akan pantau kebersihan dari rumah ke rumah di kawasan panas denggi, selain mengedarkan risalah serta meletakkan dua hingga tiga pek racun Abate dalam tangki antiseptik mereka," katanya ketika ditemui pada kempen berkenaan di Taman Dermawan, Jalan Tasek, pagi tadi.

Program jam 8 pagi hingga 1 tengah hari itu disertai 30 anggota penguat kuasa, pegawai jabatan berkaitan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk yang membuat lawatan ke sembilan rumah di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

"Racun Abate hanya bertahan tiga bulan dan kami akan kembali untuk memasukkan yang baharu selepas tempoh itu," katanya sambil menambah, kempen akan diteruskan dengan penganjuran gotong-royong secara besar-besaran pada hujung bulan ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata Jabatan Kesihatan negeri sentiasa memerangi denggi habis-habisan terutama di daerah Kinta.

"Kita mempunyai peta secara keseluruhan tempat wabak dan akan membuat tinjauan secara terperinci bagi melihat taburan kes denggi di kawasan berkenaan. Tindakan tegas akan diambil melalui notis, saman dan menyita premis tempat pembiakan aedes," katanya ketika dihubungi.

Daerah Kinta sebelum ini dilaporkan kawasan paling serius berdepan masalah denggi di negeri ini dengan 126 kes dicatatkan sepanjang minggu pertama tahun ini. Perak berada di kedudukan keenam dalam senarai negeri mencatatkan kes denggi tertinggi.

Berita Harian X