Jumaat, 15 Januari 2016 | 8:41pm

Pegawai kesihatan mangsa terbaharu denggi di Perak

PEGAWAI Sains Kaji Serangga Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Noor Aslinda Ummi Awang Besar di wad 5C, HRPB Ipoh kerana serangan denggi. - Foto Raja Khalidatul Asrin
PEGAWAI Sains Kaji Serangga Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Noor Aslinda Ummi Awang Besar di wad 5C, HRPB Ipoh kerana serangan denggi. - Foto Raja Khalidatul Asrin

IPOH: Seorang Pegawai Sains Kaji Serangga Pejabat Kesihatan Daerah Kinta di sini yang sudah 11 tahun terbabit dalam operasi cegah denggi menjadi antara mangsa terbaharu serangan wabak itu di Perak.

Noor Aslinda Ummi Awang Besar, 36, dimasukkan ke wad 5C Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh malam Khamis berikutan mengalami tanda-tanda demam denggi tahap bahaya termasuk sakit perut dan gusi berdarah.

Katanya, ini kali pertama beliau dijangkiti penyakit itu sepanjang 11 tahun berkhidmat di jabatan berkenaan.

"Hampir setiap hari saya turun padang dalam operasi pencegahan denggi di kawasan sekitar Perak, namun ini kali pertama saya dijangkiti penyakit itu selepas mengalami demam berpanjangan sejak Isnin lalu sebelum mengalami sakit perut dan gusi berdarah.

"Sejak malam tadi (semalam) jumlah platlet darah jatuh mendadak, bagaimanapun selepas dimasukkan ke hospital, keadaan saya bertambah sihat dan jumlah platlet darah semakin meningkat sejak petang tadi (semalam)," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas diziarahi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon di wad berkenaan hari ini.

Noor Aslinda berkata, beliau sudah menjangka kemungkinan dijangkiti wabak itu selepas digigit nyamuk aedes ketika melakukan operasi pencegahan di Taman Meru 1B pada 5 Januari lalu.

"Meskipun sudah memakai ubat pencegah gigitan nyamuk aedes dan memakai baju berlengan panjang, namun saya digigit serangga itu.

"Disebabkan saya masih mempunyai selera makan, jadi saya menjangkakan keadaan saya akan semakin pulih malah doktor memaklumkan saya dibenarkan pulang dalam masa beberapa hari lagi," katanya.

Sementara itu, Dr Mah berkata, beliau menyifatkan Noor Aslinda sebagai seorang ahli entomologi yang komited terhadap tugas kerana dedikasinya yang tinggi dalam menjalankan kajian berhubung aedes termasuk kitaran hidup dan tingkah laku nyamuk berkenaan.

"Beliau (Noor Aslinda) antara pegawai kesihatan yang bertungkus-lumus melakukan operasi pencegahan denggi secara besar-besaran di negeri ini termasuk mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan panas dan melakukan pemeriksaan di Taman Cempaka dan Manjoi," katanya.

Dr Mah berkata, kerajaan negeri menggandakan usaha memerangi masalah denggi yang berleluasa di Perak.

"Gotong-royong diadakan di semua kawasan panas terutama di kawasan rumah dan premis perniagaan yang kosong serta kawasan pertanian haram.

"Bagaimanapun, kami memerlukan kerjasama orang awam bagi mencegah wabak ini. Sebagai contoh, kawasan Klebang Jaya berjaya dikeluarkan dari kawasan panas selepas jawatankuasa penduduk dan ketua komuniti melakukan gotong-royong," katanya.

Berita Harian X