Isnin, 28 Disember 2015 | 4:10pm

8 daerah di Kedah catat peningkatan kes denggi

ALOR SETAR: Lapan daerah di Kedah menunjukkan peningkatan kes denggi dengan separuh daripadanya meningkat melebihi 50 peratus.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata Bandar Baharu mencatat peningkatan kes paling ketara dengan 550 peratus apabila 13 kes direkodkan antara 1 Januari hingga 19 Disember lalu, berbanding dua kes bagi tempoh sama 2014.

Katanya, tujuh lagi daerah yang mencatat peningkatan ialah Yan sebanyak 173.3 peratus iaitu 13 kes berbanding 22 kes, diikuti Baling 68.1 peratus (79 kes berbanding 47 kes), Kubang Pasu 52.8 peratus (55 kes berbanding 36 kes), Pendang 39.1 peratus (32 kes berbanding 23 kes), Kota Setar 12.8 peratus (176 kes berbanding 156 kes), Padang Terap 2.6 peratus (40 kes berbanding 39 kes) dan Kulim 7.4 peratus (175 kes berbanding 163 kes).

"Tiga lagi daerah direkod mencatat penurunan dalam jumlah kes. Ia membabitkan Kuala Muda dengan penurunan 24.6 peratus (307 kes berbanding 407 kes), diikuti Sik 43.6 peratus (22 kes berbanding 39 kes) dan Langkawi 40.9 peratus (13 kes berbanding 22 kes)," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, Dr Norhizan berkata, bagi tempoh antara 1 Januari hingga 19 Disember tahun ini, 953 kes demam denggi direkodkan di seluruh negeri ini yang menunjukkan peningkatan 0.4 peratus iaitu empat kes berbanding 949 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Dari segi jumlah kematian pula, katanya, 14 kematian direkodkan akibat demam denggi sehingga 12 Disember lalu berbanding enam bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, tahun ini, terdapat 31 lokaliti wabak direkodkan membabitkan lapan di Kuala Muda, diikuti enam di Kulim, Kota Setar (lima), Kubang Pasu (empat), Yan (tiga), masing-masing dua di Baling dan Pendang serta satu kes di Sik.

Jumlah itu meningkat berbanding keseluruhan 23 lokaliti wabak tahun lalu.

"Jabatan Kesihatan Negeri melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan Aedes ke atas 351,074 premis dan hasil pemeriksaan, sebanyak 5,398 premis dikesan mempunyai pembiakan jentik-jentik.

"Berikutan itu, 2,696 kompaun membabitkan nilai RM1.348 juta dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan 419 notis mengikut Seksyen 8 dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes," katanya.

Pada masa sama, Dr Norhizan berkata, sebanyak 434,036 premis telah dibuat pengasapan untuk membunuh nyamuk dan sebanyak 242,396 premis diletakkan abate bagi memusnahkan jentik-jentik Aedes.

Berita Harian X