Selasa, 11 Julai 2017 | 12:08am
TITIK tolak perubahan perniagaan bengkel JR Auto susulan bantuan modal yang diterima daripada AIM sejak lebih enam tahun lalu. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
TITIK tolak perubahan perniagaan bengkel JR Auto susulan bantuan modal yang diterima daripada AIM sejak lebih enam tahun lalu. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Kejayaan JR Auto bermula dari belakang rumah

MELAKA: Bermula dengan menjalankan perniagaan bengkel kereta secara kecil-kecilan di belakang rumah di Taman Peringgit Jaya, kini JR Auto mampu berdiri gah setanding bengkel kereta terkemuka lain di negeri ini.

Semua itu adalah berkat kecekalan Julainah Mohd Yasin, 50, bersama suaminya, Abd Rashid Omar, 56, yang tidak kenal erti putus asa dalam melebarkan empayar keluarga itu selama lebih 20 tahun.

Malah, sejak tiga tahun lalu, JR Auto Performance (M) Sdn Bhd (JR Auto) yang beroperasi di Peringgit, meningkatkan mutu perkhidmatan dengan memfokuskan kepada kenderaan mewah, yang jarang dimonopoli oleh orang Melayu.

Julainah yang bertindak selaku Pengarah JR Auto, berkata perniagaannya mula berkembang selepas menerima bantuan modal daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), lebih enam tahun lalu.

JULAINAH (kanan) memantau pekerjanya di Peringgit, Melaka. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
JULAINAH (kanan) memantau pekerjanya di Peringgit, Melaka. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

PENDAPATAN bengkel JR Auto kini mampu mencecah RM100,000 sebulan. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
PENDAPATAN bengkel JR Auto kini mampu mencecah RM100,000 sebulan. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Katanya, menerusi suntikan modal bagi membantu mengembangkan perniagaan itu, jumlah pelanggannya semakin bertambah pada setiap hari.

"Dengan adanya bantuan modal AIM, bolehlah saya pusing modal untuk mengadakan stok bagi alat ganti serta membeli mesin komputer terkini untuk sesebuah jenama kenderaan.

"Keadaan sekarang memang jauh berbeza kerana dulu kami sering terputus modal untuk membeli alat ganti dan kekurangan alat canggih bagi membaiki kenderaan.

"Sebelum mendapat bantuan AIM, saya sering menumpang kemudahan peralatan berkomputer di bengkel Cina berdekatan dan sudah tentu dikenakan bayaran," katanya.

JULAINAH (tengah) bersama pekerjanya di hadapan bengkel JR Auto di Peringgit, Melaka. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
JULAINAH (tengah) bersama pekerjanya di hadapan bengkel JR Auto di Peringgit, Melaka. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Julainah berkata, sejak 2010, lebih RM150,000 bantuan modal diberikan AIM dan beliau tidak pernah gagal melangsaikan pinjaman modal mengikut jadual ditetapkan.

"Alhamdulillah, permohonannya juga tidak sukar. Malah, kami tidak mempersia-siakan kepercayaan yang diberikan untuk mengembangkan perniagaan ini.

"Dengan kesungguhan saya dan keluarga mengusahakan bengkel ini, beberapa anugerah diterima antaranya Anugerah Usahawan harapan 2014 AIM dan Anugerah Sahabat Platinum Melaka 2015," katanya yang berhasrat mahu membuka cawangan dalam masa terdekat.

Katanya, kini pendapatannya mampu mencecah RM100,000 sebulan dan berharap perniagaan JR Auto dapat diteruskan oleh lima anaknya.

Sementara itu, Pengurus Cawangan AIM, Mohd Fadil Mohammad Swaimi, berkata sehingga kini ada kira-kira 2,600 Sahabat AIM di Melaka dengan peruntukan RM22 juta disediakan untuk tahun ini.

"Di Melaka, jumlah pembayaran balik adalah 90 peratus dan banyak jenis manfaat yang diperoleh oleh Sahabat AIM antaranya khairat kematian, kemudahan masuk wad, penyakit kronik, kemusnahan rumah dan juga bencana besar," katanya.

INFO

  • Sejak 2010, lebih RM150,000 bantuan modal diterima daripada AIM.
  • Pernah menerima Anugerah Usahawan harapan 2014 AIM dan Anugerah Sahabat Platinum Melaka 2015.
  • Sehingga kini terdapat kira-kira 2,600 Sahabat AIM di Melaka dengan peruntukan RM22 juta disediakan tahun ini.
Berita Harian X