Ahad, 9 Julai 2017 | 12:07am
PENERIMA trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Fattah Amin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PENERIMA trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Fattah Amin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
SELEBRITI, Neelofa Mohd Noor. - Foto Osman Adnan
SELEBRITI, Neelofa Mohd Noor. - Foto Osman Adnan

'Jangan kaitkan dengan Neelofa!' - Fattah Amin

KUALA LUMPUR: Lama berdiam diri mengenai hubungannya dengan Neelofa sehingga mengundang kontroversi, akhirnya Fattah Amin tampil memberi penjelasan termasuk dakwaan menjalin hubungan cinta dengan seorang lagi pelakon cantik, Nur Fazura Sharifuddin.

Sangkanya selama ini, berdiam diri dan memberi alasan berlapik dapat meredakan kontroversi yang melanda, namun sebagai selebriti, dia akur segala tutur kata, jika tidak dilafazkan dengan penuh hati-hati dan berdiplomasi pasti akan memakan diri.

Justeru, apabila isu membabitkannya dengan Neelofa, bekas gandingan dalam drama rantaian 'Suri Hati Mr Pilot' terus diperkatakan, Fattah seboleh mungkin cuba memberi penjelasan yang tidak mengguris hati sesiapa.

Namun, pendirian itu hanya terus mengundang spekulasi hingga peminat mereka berbalah kerana masih mengharapkan sesuatu yang manis berlaku di antara dia dan Neelofa, selain turut mengheret sama Fazura.

Meleraikan segala persoalan itu, penerima trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 ini memohon peminat supaya tidak terus berbalah atas perkara lalu kerana baginya, semua itu sudah menjadi kenangan.

FATTAH Amin akui tiada hubungan istimewa antara dia dan Neelofa. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
FATTAH Amin akui tiada hubungan istimewa antara dia dan Neelofa. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Saya juga berharap tiada lagi pihak mengaitkan saya dengan Neelofa selepas ini. Antara kami tiada hubungan istimewa. Berilah kami ruang untuk fokus kepada kerjaya masing-masing tanpa perlu dikaitkan lagi.

"Sebelum ini, saya memilih berdiam kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Cuma, selepas keadaan menjadi seakan-akan tidak terkawal, saya rasa ini masa paling sesuai untuk saya jelaskan semuanya," kata Fattah kepada BH PLUS.

Kontroversi percutian di Koh Samui

FAZURA (tiga dari kiri) dan Fattah (tiga dari kanan) ketika bercuti di Koh Samui, Thailand. - Foto Instagram
FAZURA (tiga dari kiri) dan Fattah (tiga dari kanan) ketika bercuti di Koh Samui, Thailand. - Foto Instagram

Terbaru, jejaka berusia berusia 26 tahun ini kembali terkait dalam kontroversi apabila bercuti bersama Fazura, gandingannya dalam drama Hero Seorang Cinderella di Koh Samui, Thailand.

Menambah hangat kisah percutian mereka ialah kerana Neelofa turut memilih lokasi yang sama untuk berlibur.

Fattah dikatakan sanggup menukar jadual perjalanan selepas kononnya terserempak dengan pengacara MeleTOP itu di lapangan terbang.

Walaupun berat hatinya untuk mendedahkan perkara sebenar, dia memilih untuk berterus-terang terutama apabila pelbagai isu ditimbulkan.

"Perkara ini tidak sepatutnya dihebahkan dan saya juga enggan memperbesarkannya. Namun, apabila cerita ini ditimbulkan pihak tertentu dan diperbesarkan seolah-olah kami yang bersalah, saya terpaksa menjelaskan situasi sebenar.

"Memang ada pihak memaklumkan kami akan menaiki pesawat yang sama dengan Neelofa. Sebaik mengetahuinya, saya mula rasa tidak sedap hati. Bagi saya, lebih baik kami tidak berada dalam pesawat yang sama dengannya.

"Atas nasihat keluarga, kami menukar jadual perjalanan kepada penerbangan seterusnya," kata pelakon yang mula dikenali menerusi drama rantaian Playboy Itu Suami Aku, sambil berharap isu berkenaan tidak berterusan dibahaskan.

Tak sembunyi kebenaran

PELAKON, Fattah Amin dan Fazura. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON, Fattah Amin dan Fazura. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Mengulas spekulasi nakal netizen mengenai percutian bersama Fazura, Fattah berkata, tiada apa yang perlu disembunyikan kerana mereka turut ditemani beberapa rakan lain.

"Bagi saya, cerita ini menjadi hangat apabila ada pihak menuduh kami pergi bercuti berdua sedangkan ia disertai 13 orang lain termasuk pembantu peribadi saya dan adik lelaki Fazura. Sepatutnya, pada tarikh itu, kami ada penggambaran di Maldives.

"Bagaimanapun, ia ditunda dan disebabkan mempunyai masa senggang selama lima hari, kami memilih untuk bercuti di Koh Samui. Walaupun bercuti, kami tetap bekerja kerana terbabit dalam sesi bacaan skrip dan lampias minda untuk drama terbaru.

"Selain itu, kami juga menjalani sesi fotografi untuk majalah. Tiada apa yang kontroversi, malah kami tak ambil peduli langsung dengan kata negatif yang dilemparkan," tegas penyanyi lagu Wanita Terakhir ini.

Fattah turut berharap, peminat mereka menerima penjelasannya dengan hati terbuka tanpa menuding jari menyalahkan sesiapa.

INFO

Nama Penuh: Abdul Fattah Mohd Amin

Usia: 26 tahun

Kerjaya: Pelakon, penyanyi, model

Pencapaian: Pemenang trofi Bintang Paling Popular ABPBH 30, Pelakon TV Lelaki Popular ABPBH 30, Artis Sensasi dan Gandingan Serasi Drama, Pelakon TV Meletop Anugerah Top Top Meletop Era

Lagu: Getar Jiwa, Love, Hero Untukmu (menampilkan RJ & Sherry Ibrahim), Wanita Terakhir dan Cinderella (duet dengan Fazura)

Drama: Playboy Itu Suami Aku, Kak Marr, Bodyguard, Hello Mr Perfect Raya, Suri Hati Mr Pilot, Hero Seorang Cinderella

Berita Harian X