Sabtu, 8 Julai 2017 | 12:15am

Jual ayam serama RM35,000 seekor

KOTA BHARU: Mula membeli ayam serama pada 1998 dengan harga RM680 seekor, pesara kakitangan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mendapat hasil lumayan apabila ada antara 50 unggas yang dipelihara kini dijual mencecah RM35,000 seekor.

Shafii Ismail, 61, atau lebih dikenali sebagai Abang Soh, berkata ayam serama itu dijual dengan harga serendah RM1,500 seekor dan kebanyakan pelanggan dari negara-negara Asia membelinya untuk dibuat baka manakala pembeli daripada Turki dan Amerika Syarikat lebih cenderung membeli telur.

Katanya, kebanyakan pelanggan dari negara Asia membelinya untuk dibuat baka manakala pembeli dari Turki dan Amerika Syarikat lebih cenderung membeli telur.

Abang Soh yang lebih 20 tahun memelihara ayam unik itu, berkata pembabitannya yang bermula sebagai hobi kini menyumbang kepada pendapatan lumayan.

SHAFII Ismail bersama ayam serama miliknya. - Foto Syamsi Suhaimi
SHAFII Ismail bersama ayam serama miliknya. - Foto Syamsi Suhaimi

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jambu, Chempaka, di sini, terdapat lebih 50 ayam serama bermula dari anak sehingga dewasa yang ditempatkan di dalam reban binaannya.

Abang Soh berkata, ayam serama yang mula-mula dibelinya pada harga RM680 dan ramai yang menganggap ia sebagai pelaburan yang sia-sia kerana harga yang sangat mahal untuk seekor ayam.

"Ramai rakan menganggap saya hilang akal kerana sanggup menghabiskan duit demi membeli seekor ayam serama yang nilainya ketika itu bersamaan seekor lembu.

"Saya tidak mempedulikan kata-kata orang sebaliknya dengan ayam serama pertama yang saya beli itu saya menyertai pertandingan demi pertandingan dan kerap menjadi juara," katanya yang sudah merantau ke serata pelusuk negeri untuk menyertai pertandingan ayam serama.

SHAFII Ismail menempatkan ayam seramanya di dalam reban binaannya di rumahnya di Kampung Jambu, Chempaka, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
SHAFII Ismail menempatkan ayam seramanya di dalam reban binaannya di rumahnya di Kampung Jambu, Chempaka, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

Beliau yang juga Presiden Persatuan Peminat Warisan dan Kecantikan Ayam Serama (PRISMA), berkata antara kriteria utama yang dilihat bagi penyertaan ayam serama dalam sesuatu pertandingan adalah kriteria gaya, tubuh, ekor, lawi, kepala balung, kaki, warna, bulu, kepak serta gaya ketika memperagakan diri selama satu setengah jam.

Katanya, ia juga dipertandingkan dalam beberapa kategori iaitu anak A iaitu berat 100 gram (g) ke bawah, B (140g), remaja, muda, tanpa lawi serta betina.

Bagi urusan jual beli pula, pelanggannya bukan saja datang dari seluruh negeri malah negara luar termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam turut mengenalinya.

"Siapa sangka memelihara ayam serama sebelum ini hanya sebagai hobi boleh bertukar kepada menjana pendapatan kepada saya sekeluarga," katanya yang turut menawarkan perkhidmatan mendandan ayam serama untuk bertanding.

ANTARA kriteria utama yang dilihat bagi penyertaan ayam serama dalam sesuatu pertandingan adalah kriteria gaya, tubuh, ekor, lawi, kepala balung, kaki, warna, bulu, kepak serta gaya ketika memperagakan diri selama satu setengah jam. - Foto Syamsi Suhaimi
ANTARA kriteria utama yang dilihat bagi penyertaan ayam serama dalam sesuatu pertandingan adalah kriteria gaya, tubuh, ekor, lawi, kepala balung, kaki, warna, bulu, kepak serta gaya ketika memperagakan diri selama satu setengah jam. - Foto Syamsi Suhaimi

Kegilaan Abang Soh terhadap ayam serama disokong penuh isterinya, Norliza Mohamad, 43, yang bukan saja turut meminati haiwan eksotik itu malah kerap mengikut suaminya menyertai pertandingan ayam serama yang dianjurkan.

Beliau yang juga kakitangan Klinik Pengkalan Chepa, berkata minat suaminya itu didorong rasa bosannya sebaik bersara sebagai penjawat awam.

"Bermula daripada ayam pertama yang dibeli dengan harga RM680, pembelian seterusnya kami sanggup membuat pinjaman dari sebuah agensi dan membeli seekor lagi yang berharga RM3,000.

"Jika berkelapangan, saya sering mengikut suami untuk menyertai pertandingan dan pameran. Malah, suami juga pernah mendapat jemputan membuat pertunjukan ayam serama di luar negara termasuk United Kingdom namun terpaksa ditolak kerana suami takut menaiki pesawat," katanya.

SHAFII Ismail memandikan ayam seramanya dan turut menggunakan sabun khas supaya tidak dijangkiti penyakit. - Foto Syamsi Suhaimi
SHAFII Ismail memandikan ayam seramanya dan turut menggunakan sabun khas supaya tidak dijangkiti penyakit. - Foto Syamsi Suhaimi

Kemasyhuran Abang Soh bersama ayam seramanya menarik minat pihak Discovery Network Asia Pasific yang turut menyiarkan kisah beliau dalam sebuah dokumentari berjudul 'JumpCut Asia'.

Dokumentari itu akan ditayangkan setiap Ahad bermula 9 Julai ini di saluran Discovery Channel (Astro Channel 551) bersama tujuh lagi kisah yang memaparkan kehidupan di negara-negara Asia bermula dengan Chicken Beauty Pageant (Ayam serama) dan Cricket Masala.

Abang Soh menyifatkan pembikinan filem pendek inisiatif Discovery Network Asia Pasific itu menjadikan lebih ramai mengenali perihal ayam serama termasuk bukan saja negara Asia tetapi juga seluruh dunia.

Pemeliharaan ayam serama turut menarik minat Wong Sun Meng, 30, yang mula memelihara sejak berusia 12 tahun.

Selain memelihara, beliau yang kini memiliki kira-kira 30 ekor ayam serama pelbagai peringkat umur turut menjual serta menganjur pertandingan ayam serama di serata pelosok negeri.

"Saya menjual ayam serama bermula dengan harga serendah RM50 (anak) serta mencecah RM11,000 seekor dan jangan terkejut dengan harga yang dianggap mahal itu kerana dalam kalangan peminat ayam serama mereka lebih arif akan kualiti, malah langsung tidak berkira mengenai harga.

"Ada ayam serama mencecah puluhan ribu ringgit tertakluk kepada keunikannya dari segi fizikal, lagak gaya di pentas pertandingan, termasuk kerap menjadi juara mempengaruhi nilai jualannya sangat mahal," katanya yang kerap menjadi rujukan pelbagai pihak mengenai ayam serama.

TELUR ayam serama. - Foto Syamsi Suhaimi
TELUR ayam serama. - Foto Syamsi Suhaimi

INFO

  • Berat purata ayam serama bawah 500g.
  • Bagi memastikan keselesaan ayam serama, sangkar perlu luas dan dipasang lampu.
  • Suhu untuk penetasan tidak boleh lebih atau kurang 37.5 darjah Celsius-38 darjah Celsius.
  • Jejaring halus perlu dipasang untuk mengelakkan gigitan nyamuk.
  • Dalam pertandingan ayam serama, tidak boleh harapkan tuah semata-mata, ia perlu dilatih sejak awal.
  • Ayam terlatih akan terus melentikkan badannya atau berjalan melenggok dengan cantik di hadapan juri.
Berita Harian X