Ahad, 2 Julai 2017 | 12:01am

SM Zakir mata pedang Barat, Timur

SM Zakir ekspresikan syairnya pada Malam Puisi Perjalanan Sang Zaman di ITBM, Kuala Lumpur.
SM Zakir ekspresikan syairnya pada Malam Puisi Perjalanan Sang Zaman di ITBM, Kuala Lumpur.

DIRINYA seorang cerpenis. Seluruh peminat sastera percaya begitu. Dia menulis lebih 200 cerpen dengan sejumlah antologi yang punya pengaruh dan pesona tersendiri. Antologi cerpen dan cerpen eceran menjadikan namanya elit dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) serta Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU).

Sejak 1990 ketika meraih Hadiah Utama Sayembara Menulis Cerpen Kuala Lumpur, namanya sinonim sebagai tukang prosa.

Selain puluhan hadiah sastera, genre cerpen juga yang menyenaraikan namanya sebagai Penerima Anugerah SEA Write 2011. Tanpa diabui anugerah secara literal pun, cerpen-cerpennya memang umpama pedang yang menyerlahkan ketajaman mata fikir sasteranya.

Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir tidak kompleks. Dirinya dan cerpennya sekata. Mudah digauli dan mudah didekati. Justeru, apa istimewa yang menjadikan penulis ini mampu menakah begitu jauh dan meninggalkan impak yang sangat besar terhadap sastera nasional?

Tentulah soal Timur, Barat!

SM Zakir menyatukan dua benua dalam karyanya. Stail penulisannya yang moden dan sangat eksperimental itu, dipinjam dari ledakan sastera moden Barat; menjadikan karyanya lebih 'funky' dan unik. Namun, nilai 'fancy' pada fiksyennya berjaya diimbangi dengan falsafah Timur yang kuat. SM Zakir menguasai pemikiran teras sastera Islam kerana pergaulan pembacaannya yang rigid pada falsafah Timur.

Sukar untuk percaya SM Zakir memberikan ruang yang luas pada puisi. Dia totok cerpenis sejak awal berkreatif. Selain sumbangan besar terhadap cerpen, yang digelutinya ialah esei. Nilai inteleknya menyerlah dalam esei walaupun dirinya berkelulusan bidang Pempograman Komputer dan Pengajian Perniagaan.

SM Zakir berjaya meletakkan dirinya sebaris sarjana esei yang lain kerana kehalusan pengamatannya terhadap teori sastera Barat dan Timur, serta dibantu pula naluri kreatifnya sebagai sasterawan.

SM Zakir lebih 'happening' dalam mengimbangkan antara totok akar falsafah Islam dengan gaya modenisasi dalam sastera Barat. Ini menjadikan karyanya tidak vakum dalam dogma sastera Melayu yang obsesi kepada muluk dan selalu mahu dilihat suci serta bermoral bagus.

Barangkali kegilaannya pada muzik punk dan rock ketika berevolusi menuju dewasa, menjadikan beliau tidak prejudis pada apa yang datang dari Barat. Didikan keluarga yang sangat Islamik pula, mengukuhkan asas agama dalam dirinya.

Namun, tanpa sikap 'gila' terhadap yang baik dari Barat dan yang mulia di Timur, SM Zakir tidak mungkin melahirkan karya unik dan memiliki jati diri.

Serlah pesona

Malam Puisi Perjalanan Sang Zaman (PZS) yang diadakan di Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) di Kuala Lumpur pada 20 dan 21 Mei lalu satu pencapaian luar biasa terhadap SM Zakir. Pementasan dua malam itu menjadikan kerja penyair dan penulis ini berada dalam kelas yang serius. Apa lagi, pementasan PSZ mengekspresikan suara kepenyairannya dalam satu majlis yang ada aura elit.

Namun, glamor majlis itu bukan ukuran. Suara PSZ yang diekspresikan melalui sajak dari kumpulan terbaharunya itu memang punya pesona. Secara peribadi, karektor SM Zakir lebih dilihat sebagai si perahsia yang pandai berjenaka. Namun, PSZ menolak satu sisi lain mengenai dirinya sebagai seniman tulen. Isi puisi yang meminjam suara Tan Sri Johan Jaaffar, Mohd Khair Ngadiron, Khalid Salleh, Sabri Yunus, M Nasir, Melissa Saila, Sani Sudin dan sejumlah nama tamu khas ada belangnya politiknya yang tersendiri.

Kritik politik menjadikan suara kepenyairan SM Zakir wajar didengar. Kritik yang tajam dan dinamik menjadikan PSZ sebagai karya puisi yang matang. Berjajar dalam menemukan nilai seni dan daya inteleknya yang tersendiri.

Saya tidak berada dalam posisi adil untuk mengulas persembahan arahan U-Wei Saari. Saya bukan ahli dalam seni persembahan. Bagaimanapun sebagai peminat puisi, persembahan PSZ berjaya menyilaukan pemikiran kepenyairan SM Zakir sebagai mata pedang yang tajam.

Pedang sinonim dengan SM Zakir. Cerpen-cerpennya ada berjudul pedang. Namun secara sederhana, penulisnya itu sendiri sebenarnya sebilah pedang. Ketajaman tidak lahir daripada kemarahan dan protes melulu.

SM Zakir menjadikan ketajaman puisinya sebagai sebilah pedang yang terasah kedua-dua sisi besi dengan baik. Satu sisi ialah sastera Barat yang sangat bergaya dan dinamik serta satu sisi lagi sastera Timur yang sangat Islamik.

Memang seorang SM Zakir adalah sebilah pedang!

Berita Harian X