Sabtu, 1 Julai 2017 | 12:04am

Cuci lutut atasi oesteoarthritis

KUALA LUMPUR: Pembedahan atroskopik atau mencuci lutut adalah antara prosedur rawatan yang boleh digunakan bagi mengatasi rasa sakit pada lutut disebabkan oesteoarthritis.

Keadaan itu juga disebabkan oleh berlakunya proses haus dan lusuh pada bahagian sendi berkenaan.

Kaedah itu dilakukan dengan meratakan bahagian tulang rawan yang sudah pecah atau melicinkan bahagian dalam sendi yang berserabut menggunakan peralatan khas atroskopik.

Pemeriksaan menggunakan sinar X dan MRI itu dilakukan untuk melihat tahap kerosakan di dalam lutut.

Pakar Perunding Ortopedik Dan Pakar Bedah Gantian Sendi, Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Datuk Dr Abdul Muiz Ab Razak, berkata pembedahan tidak sesuai sekiranya kedudukan sendi tidak sejajar dan kerosakan tulang rawan terlalu luas.

DR Abdul Muiz menunjukkan bahagian lutut yang diganti dengan sendi palsu sebagai rawatan terakhir.
DR Abdul Muiz menunjukkan bahagian lutut yang diganti dengan sendi palsu sebagai rawatan terakhir.

Elak kerosakan tisu lembut

Keadaan sedemikian kata beliau, dikhuatiri akan menyebabkan berlaku kerosakan pada tisu lembut yang lain termasuk ligamen dan meniscus.

"Pesakit mungkin hanya memerlukan rawatan biasa (tidak invasif) pada peringkat awal seperti fisioterapi, ubat tahan sakit dan makanan tambahan saja," katanya.

Pesakit juga, kata Dr Abdul Muiz, dinasihatkan mengubah dan mengawal aktiviti harian yang boleh memberi tekanan kepada lutut.

Beliau berkata, ini termasuk menggunakan alat sokongan lutut seperti "knee Brace" yang boleh mengurangkan tekanan pada sendi lutut.

Stabilkan pergerakan lutut

Penggunaan alat itu juga katanya, berupaya menstabilkan pergerakan. Kaedah itu juga dilihat sebagai antara rawatan awal memperlahankan proses kerosakan pada lutut.

Suntikan cecair pelincir " viscosupplement" ke dalam sendi lutut, bertujuan memberikan kesan anjalan.

Selain itu suntikan berkenaan berupaya melicinkan pergerakan sendi, juga antara kaedah rawatan peringkat awal yang kerap dilakukan pada masa ini.

Pilihan terakhir adalah dengan menjalankan pembedahan penggantian sendi lutut. Bagaimanapun prosedur berkenaan hanya dilakukan jika mereka yang datang pada tahap lewat.

Sakit lutut lazimnya dikaitkan dengan orang tua tetapi hakikatnya setiap individu akan mengalami sakit sama ada pada usia muda atau lewat.

Berat badan bebankan lutut

Lutut adalah sendi yang digunakan sejak kita mula berdiri dan sentiasa menanggung berat badan, menjadikan bahagian itu menjalani proses haus dan lusuh.

"Bagi golongan muda, sakit lutut mungkin disebabkan apa yang pernah berlaku ke atas mereka sebelum ini seperti terjatuh, kemalangan atau mengalami trauma kecederaan lutut yang berulang.

"Kerosakan sendi oleh proses haus dan lusuh ini adalah proses yang berterusan selaras dengan peningkatan usia," katanya.

Peningkatan berat badan dan aktiviti seharian menambah bebanan pada lutut seperti mengangkat barang berat adalah faktor mempercepatkan proses haus dan lusuh ini.

Sakit ketika duduk lama

Pencetus utama menjadikan lutut lebih mudah mengalami kesakitan antaranya ketika duduk lama, berjalan jauh, menaiki tangga dan ketika hendak bangun selepas duduk tahiyat ketika bersolat.

Rasa sakit itu bagaimanapun, akan hilang atau berkurangan apabila berehat, kurang berjalan atau waktu sibuk bekerja kerana minda lebih tertumpu kepada pekerjaan yang dilakukan.

Lutut berbunyi ketika memulakan pergerakan tidak menjadi masalah sekiranya tidak merasa sakit kerana ia dihasilkan oleh kapsul sendi yang bergeseran terutama pada individu yang sudah berusia.

Sekiranya sakit sesekali dan hilang apabila makan ubat atau berehat sepenuhnya, keadaan ini tidak perlu berjumpa doktor.

Sebaliknya pemeriksaan doktor diperlukan apabila ada rasa sakit semakin bertambah, mula membengkak, pergerakan lutut terhad dan tidak memberi kesan walaupun selepas makan ubat.

INFO

  • Penyumbang awal kepada masalah sakit lutut atau arthritis;
  • Obesiti atau peningkatan berat badan.
  • Penggunaan lutut yang berlebihan atau terlalu aktif seperti mengangkat barang berat.
  • Kurang senaman untuk menguatkan lutut.
  • Makanan tidak memberikan pengaruh ke atas sakit lutut kecuali gout.

Punca sakit lutut:

  • Proses haus dan lusuh oleh peningkatan usia-osteoathritis.
  • Akibat penyakit seperti gout, rheumatoid athritis, jangkitan lutut.
  • Akibat kecederaan pada sendi lutut.

Langkah mengatasi sakit lutut:

  • Aktiviti senaman khusus untuk lutut.
  • Berehat sepenuhnya apabila berasa sakit.
  • Makan ubat dengan nasihat doktor.
  • Meletakkan ais untuk mengurangkan bengkak.
  • Jangan urut lutut dengan minyak panas pada lutut yang bengkak.

Kriteria yang memerlukan pembedahan tukar ganti sendi lutut:

  • Sakit berterusan walaupun ketika berehat.
  • Tidak baik walaupun setelah makan ubat tahan sakit.
  • Sakit yang mengganggu tidur.
  • Menyebabkan kemurungan atau perubahan emosi.
  • Kedudukan lutut yang tidak sejajar atau semakin bengkok.
Berita Harian X