Ahad, 25 Jun 2017 | 12:02am
KETUA Unit Rekreasi, Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan Dungun-Kemaman, Bidi Abdullah. - Foto Ghazali Kori
KETUA Unit Rekreasi, Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan Dungun-Kemaman, Bidi Abdullah. - Foto Ghazali Kori

Pesona Air Terjun Chemerong yang mendamaikan

KOLAM takungan air semula jadi pilihan pengunjung yang datang berkelah. - Foto Ghazali Kori
KOLAM takungan air semula jadi pilihan pengunjung yang datang berkelah. - Foto Ghazali Kori

AIR Terjun Chemerong kira-kira 30 kilometer dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah disenaraikan sebagai 10 ikon atau produk pelancongan popular negeri Terengganu.

Selain itu, ATC turut dinamakan sebagai air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Namun, ada juga pendapat mengatakan Air Terjun Jelawang di Kelantan adalah yang tertinggi di Asia Tenggara.

Bagi penulis sama ada ATC atau Air Terjun Jelawang, kedua-duanya mempunyai keistimewaan dan tarikan tersendiri, perbezaan ketinggian dua meter bukan isu, tapi lebih penting keindahannya yang memukau pandangan.

Dari jauh lagi, pengunjung dapat menyaksikan jaluran berwarna putih umpama buih-buih mutiara yang luruh di tengah-tengah kehijauan hutan menandakan betapa tingginya air terjun ini.

Namun untuk bersantai di sini, pengunjung diingatkan supaya sentiasa beringat dengan keselamatan diri, keluarga dan rakan-rakan untuk memastikan tiada kejadian tidak diingini.

MENIKMATI barbeku di gazebo. - Foto Ghazali Kori
MENIKMATI barbeku di gazebo. - Foto Ghazali Kori

Menanti pengembara lasak

Kawasan hutan lipur ini juga kaya dengan khazanah flora yang menanti pengembara lasak untuk diterokai, sekali gus menjadi nilai tambah kepada pencinta alam sekitar.

Spesies orkid liar boleh ditemui di sepanjang perjalanan menuju ke kaki ATC, sekali gus menjadi pintu masuk kepada pendaki mahupun pengembara lasak mendaki Gunung Berembun.

Terdapat pelbagai jenis pohon herba yang boleh dijadikan penawar ketika merentas hutan di sini, atau beli saja daripada penduduk tempatan jika anda benar-benar mahu mendapatkannya.

Bagi pengunjung yang datang untuk jangka masa singkat, memadai apabila berkunjung ke kolam takungan air semula jadi di kawasan berdekatan tapak perkhemahan. Perjalanan pula lebih selesa apabila disediakan laluan bertingkat yang bersimen. Beberapa gazebo yang selesa bagi pengunjung menyediakan barbeku berdekatan kolam takungan semula jadi berkenaan.

SEKUMPULAN pelancong leka berendam dalam sungai berdekatan air terjun. - Foto Ghazali Kori
SEKUMPULAN pelancong leka berendam dalam sungai berdekatan air terjun. - Foto Ghazali Kori

Aspek keselamatan sentiasa diutamakan

Bagi mereka yang menggemari aktiviti lebih ekstrem dan cabaran, merentasi denai menuju ke puncak Gunung Berembun, sekali gus berkhemah di kaki ATC adalah satu kemestian. Pemandangan di kawasan ini lebih mempesona.

Namun, sebelum membuat keputusan sampai ke puncak gunung, pastikan diri dan kumpulan anda ditemani pemandu pelancong terdiri daripada penduduk tempatan yang mahir dengan selok-belok hutan di kawasan berkenaan.

Ketua Unit Rekreasi, Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan Dungun-Kemaman, Bidi Abdullah berkata, walaupun terdapat denai atau ruang pejalan kaki menuju ke Gunung Berembun atau kaki ATC, sebarang kemungkinan boleh terjadi sekiranya pengunjung membelakangi faktor keselamatan.

"Hutan lipur pernah mengalami fenomena kepala air secara semula jadi yang boleh mengancam nyawa. Apabila tanda-tanda awal fenomena kepala air berlaku seperti air sungai berbuih dan meningkat secara tiba-tiba, siren amaran akan berbunyi. "Pengunjung mesti meninggalkan kawasan sungai dengan serta-merta," katanya.

FAKTA NOMBOR

* 1,008 meter - Ketinggian Gunung Berembun

* 305 meter - ketinggian Air Terjun Chemerong

* 127 kilometer - Dari Kuala Terengganu

* 1,675 sentimeter - Ukur lilit pokok cengal

Berita Harian X