Rabu, 14 Jun 2017 | 12:11am

Dua terumbu jadi idaman Firdaus

MOHAMAD Firdaus bersama ikan aruan tasik yang berjaya dijinakkannya.
MOHAMAD Firdaus bersama ikan aruan tasik yang berjaya dijinakkannya.

DUA terumbu karang yang sangat jarang dikunjungi adalah antara lokasi memancing yang ingin dikunjungi oleh Mohamad Firdaus Hashim, iaitu Terumbu Luconia di Miri, Sarawak, dan King Fish di Australia.

Mohamad Firdaus berkata, kedua-dua terumbu itu menjadi habitat ikan lasak, agresif dan pelbagai saiz tetapi amat jarang dikunjungi kaki pancing.

Katanya, beberapa ikan terberat melebihi 60 kilogram (kg) pernah dijinakkan oleh pemancing di terumbu Luconia yang kebanyakannya dari spesies kerapu kertang, tuna, tuna gigi anjing, jemuduk atau gerepoh dan layaran.

Mahu rasai sentapan ikan hebat

Luconia terletak kira-kira 100 kilometer atau perjalanan antara 8 hingga 12 jam dengan menaiki bot pemancing dari Miri.

"Ia menjadi tarikan kepada ramai pemancing bukan sahaja di negara ini malah dari luar negara, terutama dari China dan Amerika Syarikat, yang sentiasa memburu ikan besar.

"Selain itu Luconia juga menjadi tumpuan kumpulan penyelam kerana terdapat rangkaian batu-batu karang yang cantik dan belum terusik," katanya.

Beliau juga ingin memancing di beberapa lubuk di terumbu King Fish untuk merasai sentapan pelbagai jenis ikan di lokasi itu dikatakan amat hebat.

MOHAMAD Firdaus dengan ikan kerapu yang membaham umpannya ketika memancing di Pulau Perak.
MOHAMAD Firdaus dengan ikan kerapu yang membaham umpannya ketika memancing di Pulau Perak.

Mujur tidak mabuk laut

Mohamad Firdaus yang pernah menjinakkan jemuduk atau GT seberat sembilan kilogram, berkata antara lubuk ikan di perairan negara yang kerap dikunjungi bersama rakan-rakannya ialah Kempadang di Kuantan dan Tukun Perak di Perak.

Ketika ini, beliau mempunyai sembilan kekili dan 11 joran dengan teknik jigging dan micro jigging paling diminatinya.

Anak sulung daripada tiga beradik berusia 33 tahun itu berkata, sekiranya tidak mempunyai masa untuk memancing di laut dalam, beliau akan memancing di Kolam RM3 Jugra, sekurang-kurangnya selama empat jam.

Mohamad Firdaus berkata, pengalaman pahit yang dilaluinya ketika memancing ialah dihempas ombak besar ketika mencandat sotong di Kempadang, Kuantan, 16 Mei lalu.

"Ketika asyik mencandat sotong, laut tiba-tiba bergelora dengan ombak setinggi 0.9 meter berikutan angin kencang. Air mula masuk ke dalam bot membuatkan tekong melabuhkan sauh dengan tali yang panjang untuk bertahan.

"Tekong memberitahu untuk balik ke jeti memang tak akan lepas dan meminta saya dan rakan-rakan berdepan dengan sebarang kemungkinan. Mujurlah kami tidak mabuk laut dalam trip berkenaan," katanya.

PROFIL

Nama: Mohamad Firdaus Hashim

Usia: 33 tahun

Pendidikan: Diploma Pengajian Perniagaan

Asal: Selangor

Pekerjaan: Kakitangan bank di Pahang

MOHAMAD Firdaus bersama hasil tangkapannya.
MOHAMAD Firdaus bersama hasil tangkapannya.

Berita Harian X