Rabu, 14 Jun 2017 | 12:08am
Adam gemar menghabiskan masa terluang dengan bersantai.
Adam gemar menghabiskan masa terluang dengan bersantai.

Adam terpaut di Pulau Perhentian Kecil

BESUT: ANAK muda ini jatuh cinta dengan keindahan bawah laut sehingga nekad meninggalkan kehidupannya yang lebih selesa di Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai jurupandu snorkel (snorkel guide) di Pulau Perhentian Kecil, Terengganu.

Beliau sendiri tidak ada jawapan apabila ditanya mengubah fikiran untuk melakukan kerja yang dilakukannya hari ini.

Adam Abdullah Ashar berkata, beliau juga sebenarnya tidak menyangka untuk mencari rezeki di negeri orang tetapi menegaskan tiada rasa menyesal dengan keputusan yang dilakukannya.

"Hidup ini ada cabaran. Setiap cabaran yang ditempuhi setiap hari membantu mematangkan lagi pemikiran. Sebenarnya ada cerita di sebalik penghijrahan saya ke sini.

"Pada mulanya saya amat serabut dan runsing dengan masalah yang dihadapi di Kuala Lumpur dan terus mengambil keputusan untuk ke Ombak Dive Resort bagi menenangkan fikiran.

"Tanpa disangka, saya jatuh cinta dengan persekitarannya, malah ketenangan yang diperoleh di sini membuatkan fikiran semakin jelas dengan apa yang saya mahu," katanya.

ADAM bersama dengan pelancong yang melakukan aktiviti menyelam.
ADAM bersama dengan pelancong yang melakukan aktiviti menyelam.

ADAM gemar menghabiskan masa dengan aktiviti di Pulau Perhentian
ADAM gemar menghabiskan masa dengan aktiviti di Pulau Perhentian

Minta kerja serta-merta

Anak sulung kepada pengasas dan bekas Presiden Persatuan Bantuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia), Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Dr Ashar Abdullah berkata, beliau nekad dengan keputusan untuk tinggal dan bekerja di Pulau Perhentian Kecil kerana itulah tempat yang dirasakan memberi ketenangan pada dirinya.

Pada awalnya, Adam datang hanya untuk bercuti selama seminggu. Dalam tempoh itu, anak muda ini banyak melakukan aktiviti menyelam selain bergaul rapat dengan penduduk tempatan.

"Selama seminggu itu, boleh dikatakan hampir setiap hari saya menyertai aktiviti menyelam. Bila tidak menyelam, saya bergaul dengan penduduk di sini, malah hubungan saya menjadi rapat dengan sebahagian daripada mereka.

"Dek kerana seronok dengan suasana itu, saya terus bertanya kalau ada kerja kosong sebagai jurupandu snorkel dan agaknya memang sudah tertulis rezeki saya kerana memang ada kekosongan yang perlu diisi.

"Saya kembali ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan segala urusan yang tertunggak dan meletakkan jawatan sebagai jurulatih kecergasan sebelum kembali semula ke sini dan memulakan hidup baharu," katanya.

SEBAHAGIAN pengunjung menyelam dan melihat suasana di dasar laut di Pulau Perhentian. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
SEBAHAGIAN pengunjung menyelam dan melihat suasana di dasar laut di Pulau Perhentian. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

MENDAKI bukit ke kincir angin di Pulau Perhentian.
MENDAKI bukit ke kincir angin di Pulau Perhentian.

Lebih seronok, bebas dari tekanan

Adam berkata kerjayanya sekarang lebih menyeronokkan dan bebas daripada tekanan kerana rutin hariannya tidak terlalu padat.

"Tugas dan tanggungjawab saya di pulau ini adalah membawa pelancong yang ingin snorkel ke lokasi yang ditetapkan.

"Saya selalunya akan berikan sedikit taklimat dan langkah keselamatan sebelum sama-sama turun ke laut bagi memantau pergerakan mereka.

"Selalunya aktiviti ini akan bermula seawal jam 10 pagi dan tugas saya akan berakhir kira-kira jam 6 petang," katanya.

Pada masa lapang, Adam gemar berborak dengan para dan melepak bersama rakan-rakan yang terdiri daripada penduduk kampung.

"Saya gemarkan cabaran dan selain bersenam, saya akan mendaki bukit ke kawasan kincir angin di sini. Ia menjadi sebahagian daripada aktiviti riadah, sekali gus memanfaatkan masa terluang yang ada," katanya.

MENYELAM bersama penyu bernama Chapang.
MENYELAM bersama penyu bernama Chapang.

Pernah alami kegemukan

Adam berkata, ramai yang tidak mengetahui beliau pernah mengalami kegemukan berlebihan atau obesiti malah berat badannya pernah mencecah sehingga 110 kilogram ketika zaman remaja.

"Atas kesedaran dan azam yang inginkan perubahan, saya buat sendiri jadual pemakanan dan senaman bagi menurunkan berat badan.

"Saya banyakkan membaca, menonton YouTube dan mencari tips untuk kuruskan badan di Internet sebagai panduan.

"Segala kesukaran yang ditempuhi berbaloi juga kerana saya berjaya menurunkan sehingga 55 kilogram dalam tempoh empat bulan sahaja," katanya.

Adam selesa dengan kehidupannya di Pulau Perhentian.
Adam selesa dengan kehidupannya di Pulau Perhentian.

Tiada halangan dari keluarga

Bercerita mengenai perancangan jangka panjang, Adam memaklumkan yang dia selesa dengan kehidupannya sekarang dan berharap dapat meneruskan minatnya dengan sokongan keluarga tersayang. 

"Ayah dan ibu pun bersetuju malah memberi sokongan kerana mereka tahu apa yang saya mahu dalam hidup ini.

"Walaupun berjauhan, itu bukan menjadi penghalang untuk kami berhubung dan bertanya khabar setiap kali ada kesempatan," katanya. 

INFO

  • Adam Abdullah Ashar
  • Umur: 24
  • Lulusan Diploma Pengurusan Hotel Kolej Segi
  • Suka mengembara sendirian dan pernah menjelajah Jepun, Boston (Amerika Syarikat), Singapura dan beberapa negara Asia.
  • Memiliki selam skuba asas laut dan terbuka dan selam skuba lanjutan Persatuan Profesional Jurulatih Selam Skuba (PADI).
Berita Harian X