Selasa, 13 Jun 2017 | 12:05am
UQASHA Senrose. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
UQASHA Senrose. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Uqasha elak temui wartawan hiburan

NAMA Uqasha Senrose sememangnya antara yang paling hangat dalam industri seni tanah air. Boleh dikatakan ada saja kisah panas membabitkan dirinya terpapar di media massa termasuk kisah cinta dengan beberapa pelakon lelaki dan tindakan beraninya membuka tudung, sekitar Ogos tahun lalu.

Terbaru, kedengaran desas-desus pelakon cantik berusia 24 tahun ini bersikap memilih bulu terhadap media yang ingin mendapatkan kisah terkini dirinya. Bukan sekadar itu, beliau juga dikatakan susah untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkenaan.

Tidak kurang yang beranggapan, Uqasha bagai cuba mengelak daripada ditemubual wartawan hiburan, sebaliknya lebih suka memenuhi undangan menjayakan sesi fotografi bersama majalah fesyen dan gaya hidup.

UQASHA Senrose menjadi perhatian berikutan tindakannya membuka tudung sekitar Ogos tahun lalu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
UQASHA Senrose menjadi perhatian berikutan tindakannya membuka tudung sekitar Ogos tahun lalu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Maka, timbullah pertanyaan apakah gadis berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini bimbang andai teman media membangkitkan kisah panasnya dalam temubual diadakan? Justeru, apabila Uqasha muncul pada sebuah majlis berbuka puasa di ibu kota, baru-baru ini, pertanyaan berkaitan perkara itu diajukan kepadanya.

"Tak adalah seperti yang dikatakan itu dan tidak pernah ada istilah saya memilih rakan media.

"Memang ada beberapa acara yang sepatutnya turut membabitkan diri saya sebelum ini, tetapi saya tidak dapat menghadirkan diri kerana terikat dengan komitmen kerja. Jadi, saya bukanlah melarikan diri ataupun enggan ditemubual media.

"Selama ini pun, saya banyak berterima kasih kepada pihak media yang tidak jemu-jemu menyokong kerjaya seni saya," katanya.

Apa pun tanggapan diberikan terhadap pelakon sensasi ini, dirinya tetap menjadi pilihan produser drama. Ketika ini, umpamanya, beliau masih sibuk di lokasi Hero Seorang Cinderella yang turut menampilkan Fattah Amin dan Nur Fazura. Penggambaran drama terbabit dikatakan hanya akan tamat pada 20 Jun ini.

Mengenai drama yang kian mendapat perhatian peminat itu, ia menjadi kerjasama kedua dirinya dengan pengarah, Michael Ang. Selepas Aidilfitri nanti, beliau sekali lagi akan berlakon di bawah arahan lelaki terbabit.

UQASHA seronok berlakon dalam drama Hero Seorang Cinderella kerana dapat memainkan karakter berbeza. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
UQASHA seronok berlakon dalam drama Hero Seorang Cinderella kerana dapat memainkan karakter berbeza. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Saya seronok berlakon dalam drama Hero Seorang Cinderella kerana dapat memainkan karakter berbeza. Malah, inilah kali pertama saya diberikan watak antagonis.

"Begitupun, watak lakonan saya itu bukanlah jahat selama-lamanya kerana pada pertengahan cerita nanti, ada juga sisi baiknya yang terserlah. Seronok juga dapat memainkan karakter jahat dan baik dalam satu naskhah.

"Saya juga teruja bercampur gementar apabila dapat berlakon di sisi Fazura. Saya amat mengagumi lakonan dan bakatnya. Malah, dia sendiri tidak lokek mengajar dan berkongsi tips lakonan," katanya.

Sementara itu, bekerja sepanjang Ramadan, Uqasha berkata dirinya tidak menolak rezeki yang datang.

"Saya masih sempat berbuka puasa di rumah kerana penggambaran ada masanya selesai sebelum waktu Maghrib. Jadi, dapatlah juga saya berbuka dengan keluarga," katanya.

Mengenai persiapan raya pula, Uqasha yang akan menyambutnya di ibu kota mengaku beliau lebih gemar melakukannya pada saat akhir.

"Baju raya pun belum beli lagi. Saya juga tidaklah terlalu teruja dalam menyediakan persiapan raya dan memastikan segala-gala cepat disediakan. Bagi saya, Aidilfitri adalah waktu untuk kita berkumpul sesama keluarga," katanya yang bercuti selama seminggu bagi meraikan Hari Raya dan akan kembali sibuk di lokasi selepas tempoh berkenaan.

INFO:

* Dilahirkan dengan nama Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen di Kota Bharu, Kelantan pada 1 Ogos 1992.

* Kakak kepada pelakon Nelydia Senrose yang juga seorang pelakon.

* Lima tahun berada dalam arena seni.

* Antara drama lakonannya ialah Sebenarnya Saya Isteri Dia, Tok Abah, Kalau Itu Jodoh Kita, Dan Hati Pun Berkata, Sayap Jibril, Pengembaraan Jason Murad, Tundukkan Playboy Itu, Kerana Anisa dan Hero Seorang Cinderella.

Berita Harian X