Ahad, 11 Jun 2017 | 12:03am
BERSAMA dengan Chef Zam di Program Guardian Cookout Challenge di Sunway Putra Mall.
BERSAMA dengan Chef Zam di Program Guardian Cookout Challenge di Sunway Putra Mall.

Doktor gigi lebih popular sebagai chef selebriti

 MENGENDALIKAN program demonsrasi masakan di TCE Baby Expo.
MENGENDALIKAN program demonsrasi masakan di TCE Baby Expo.

KEHIDUPAN Dr Ezani Farhana Md Monoto sejak lima tahun lalu memang banyak berubah.

Kerjayanya sebagai seorang doktor gigi perlu diimbangi dengan popularitinya sebagai seorang chef.

Ia bermula apabila namanya dipilih sebagai juara pertandingan MasterChef Malaysia musim pertama pada 2011. Sejak itu, wanita ini terus kekal bersinar sebagai chef selebriti yang mewarnai dunia kulinari tempatan.

Beliau aktif mengendalikan demonstrasi masakan untuk program televisyen atau memenuhi jemputan di majlis rasmi.

Dr Ezani tidak sangka kemenangannya sebagai MasterChef Malaysia memberikan impak besar terhadap kariernya tetapi bersyukur kerana diberikan kepercayaan untuk terus menyalurkan inspirasi kulinarinya bersama peminat.

"Saya gunakan kesempatan yang ada untuk berkongsi hobi memasak yang memang wujud dalam diri sejak kecil lagi. Memang puas hati apabila dapat bantu beri tips dan teknik masakan yang dipraktikkan dengan para peminat.

"Jadi, saya akan cuba sebaik mungkin memenuhi undangan program TV kerana ia lebih seronok apabila dapat dikongsi dengan mereka yang punya minat yang sama," katanya.

 STATUS chef selebriti membantu Dr Ezani berkongsi tips dan resipi masakannya bersama peminat.
STATUS chef selebriti membantu Dr Ezani berkongsi tips dan resipi masakannya bersama peminat.

Kerjaya, minat tidak campur aduk

Wanita berusia 32 tahun ini bagaimanapun mengakui, perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan minat supaya tidak mengganggu jadualnya dalam menguruskan keluarga.

Beliau yang berasal dari Muar, Johor bertugas sebagai pegawai pergigian di Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia berkata, tidak sukar untuk mengatur jadual kerana suaminya, Dr Muhammad Azrai Abu, 34 sentiasa memberikan sokongan dan membantu memudahkan urusan harian.

"Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah berdepan dengan sebarang masalah kerana program atau tugas sebagai chef selebriti selalunya diaturkan pada hujung minggu.

"Kadang-kadang, saya akan ambil cuti jika perlu atau selesaikan tugas selepas tamat waktu kerja bagi memastikan dua kerjaya ini tidak bercampur aduk," katanya.

BERSAMA dengan suami, Dr Muhammad Azrai Abu dan anak tersayang, Maryam Azalea. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
BERSAMA dengan suami, Dr Muhammad Azrai Abu dan anak tersayang, Maryam Azalea. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Suami, keluarga banyak membantu

Dr Ezani berkata, beliau sendiri menguruskan anaknya, Maryam Azalea yang berusia dua tahun dengan membawanya bersama sebelum dihantar ke pusat jagaan di tempat kerjanya.

"Kalau jadual padat, suami dan keluarga banyak membantu menjaga Maryam supaya saya dapat memberi tumpuan terhadap program yang sudah dijadualkan.

"Saya atur dan pilih program dengan teliti supaya dapat memudahkan kedua-belah pihak," katanya.

Dr Ezani yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian Universiti Adelaide, Australia berkata kedua-dua kariernya sebagai doktor gigi dan chef selebriti terdiri daripada platform berbeza namun masih banyak persamaannya.

"Kelainan itu ada tapi tetap ada persamaannya kerana saya adalah seperti wanita muda lain yang membahagikan masa antara kerja dan menjadi ibu di rumah.

"Atas dasar itu, saya kuatkan semangat, teruskan usaha untuk menjadi yang terbaik bukan sahaja dalam karier dan utamakan keluarga pada masa yang sama," katanya.

 EZANI semasa memenangi pertandingan musim pertama MasterChef Malaysia pada tahun 2011.
EZANI semasa memenangi pertandingan musim pertama MasterChef Malaysia pada tahun 2011.

Lebih suka masak sendiri

Bercerita mengenai pengalaman berpuasa bersama keluarga sempena bulan Ramadan, Dr Ezani berkata, beliau tinggal bersama keluarga yang besar dan memasak bersama menjadi rutin harian yang membantu mengeratkan kasih sayang.

"Selalunya pada hari-hari biasa kami akan sediakan hidangan ringkas sahaja, namun sekali-sekala kami akan masak sesuatu yang istimewa seperti hidangan antarabangsa mengikut selera.

"Selalunya kami akan masak sendiri menu utama dan hanya beli makanan tambahan seperti kuih-muih sebagai hidangan sampingan," katanya.

Dr Ezani menambah, bulan yang penuh keberkatan ini digunakan sebaiknya untuk meningkatkan ibadah dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.

"Saya tidak sibuk sangat kerana semua komitmen berhubung program masakan sudah diselesaikan sebelum puasa lagi. Hanya terdapat beberapa program dan promosi termasuk undangan buka puasa yang perlu dipenuhi dan masa selebihnya dihabiskan dengan keluarga," katanya.

Berita Harian X