X
Khamis, 8 Jun 2017 | 12:01am

Ulasan Buku: Debat Nisah tentang sastera Malaysia

BAGAIMANAKAH wajah sastera kebangsaan pada dekad ini? Apakah ia sudah jauh meninggalkan sastera dekad 1980-an dan 1990-an? Siapakah generasi penulis masa kini yang perlu diperhatikan dan apakah gaya terkini dalam penulisan sastera di Malaysia?

Semua persoalan itu ada jawapannya dalam naskhah Menulis Mengatur Diri Berfikir tulisan Nisah Haron. Menghimpunkan 20 esei, ia sebenarnya adalah tulisan beliau yang pernah terbit khususnya di majalah di bawah payung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Justeru, ia boleh dianggap sebagai rakaman nuansa kesusasteraan tempatan, hampir setiap satu esei di dalam naskhah ini menyentuh hampir ke setiap inci landskap kesusasteraan tanah air.

Bermula dengan prakata yang serba sedikit menuliskan mengenai pengalaman beliau sebagai peguam terlatih yang kemudian memilih untuk menulis sepenuh masa sejak 2006, naskhah ini turut mengupas pelbagai isu.

Antara yang menarik pandangan beliau mengenai kedudukan pengarang wanita dalam dunia sastera, sastera Islam dan generasi penulis pascamerdeka, selain isu fiksyen sains yang dilihat masing asing dalam ranah sastera tempatan.

Esei diterbit 12 tahun lalu

Meskipun sesetengah esei ini sudah diterbitkan 12 tahun lalu, ia masih relevan untuk dibincangkan antaranya, termasuk dilema penulis fiksyen Inggeris tempatan.

Nisah turut menyentuh mengenai persoalan apakah penulis yang tidak terdidik dengan pendidikan sastera lebih hebat? Hal itu menarik untuk dilihat kerana kebanyakan penulis muda hari ini datang dari pelbagai latar belakang pendidikan; perubatan, undang-undang malah kejuruteraan juga tidak kurang yang terdidik dalam sains.

Sementara bilangan penulis yang terdidik dalam bidang sastera menjadi penulis dilihat semakin kecil. Senario itu jauh berbeza dengan pelajar yang terdidik dalam seni halus yang muncul sebagai pelukis.

Kekurangan penulis

Apakah penerapan pengajian yang terlalu terikat dengan teori menyebabkan mereka tidak bebas berkarya? Atau mungkinkah jurusan sastera itu menjadi pilihan atas keinginan untuk masuk universiti semata-mata? Atau mungkin kaedah pengajarannya tidak tepat, misalnya seperti kata Nisah, tiada universiti tempatan yang mengajar subjek kreativiti secara khusus.

Naskhah yang diterbitkan Mei lalu wajar untuk dimiliki anda yang ingin mengenali dan menyelami warna warni sastera tempatan.

Penulis: Nisah Haron
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Penilaian: ***

Berita Harian X