Rabu, 7 Jun 2017 | 12:04am

Karya SM Zakir tembungkan falsafah Barat-Timur

DARI kiri, Mohd Khair bersama Wan Nor Azriq, Zaen Kasturi dan U-Wei pada Majlis Bicara, Merungkai Perjalanan Sang Zaman di Wisma ITBM, Kuala Lumpur. - Foto Rohanis Shukri
DARI kiri, Mohd Khair bersama Wan Nor Azriq, Zaen Kasturi dan U-Wei pada Majlis Bicara, Merungkai Perjalanan Sang Zaman di Wisma ITBM, Kuala Lumpur. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Kumpulan puisi Perjalanan Sang Zaman karya SM Zakir menjadi satu titik permulaan buat Pemenang Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011 itu menerobos persoalan falsafah era pascamoden.

Perjalanan Sang Zaman yang diambil 'rohnya' daripada Javid Nama, iaitu karya penyair dan intelektual besar dunia, Allamah Muhammad Iqbal, dilihat cuba 'meruntuhkan' falsafah lama seperti ditegaskan oleh Penerima Anugerah SEA Write 2010, Zainal Palit atau lebih dikenali sebagai Zaen Kasturi.

Zaen Kasturi berkata, seperti Muhammad Iqbal yang dikatakan 'berbalah' dengan zamannya oleh penterjemah karya beliau Asrar-i-Khudi, Reynold Nicholson, perasaan sama juga turut dirasai kala menekuni Perjalanan Sang Zaman.

'Perbalahan' itu, katanya, jelas apabila SM Zakir dilihat dengan sengaja mempertembungkan falsafah Barat dan Timur bagi menyatakan dalam era pascamodenisme, tuntutan kehidupan juga berlainan hingga membolehkan konsep negara, sosial dan rakyat untuk berubah.

Runtuhkan falsafah lama

"SM Zakir cuba meruntuhkan falsafah lama apabila mempertembungkan Ibnu Khaldun dan Thomas Hobbes dalam falsafah kenegaraan dan sosial sebelum beliau sendiri menyelit di antara keduanya bagi menyatakan perspektifnya sendiri.

"Saya melihat karya ini tidak hanya kuat semangat dan kental jiwanya, malah memiliki premis yang perlu dilihat secara lebih serius.

"Hanya dengan cara itu kita akan dapat melihat bagaimana pemikiran SM Zakir menyelinap dalam dua zaman iaitu pertengahan dan moden," katanya pada Majlis Bicara - Merungkai Perjalanan Sang Zaman di Wisma Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Wangsa Maju, di sini.

Berbeza dengan naskhah lain

Acara yang dikendalikan oleh Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron itu turut disertai pengarah, U-Wei Saari dan penulis muda, Wan Nor Azriq Wan Mokhtar.

Sementara itu, Wan Nor Azriq, berkata berbeza dengan naskhah yang pernah dihasilkan SM Zakir sebelum ini, Perjalanan Sang Zaman lebih menekankan pemikiran pengarang itu melalui kata-kata, manakala simbolnya pula dileburkan melalui naratif.

"Bagaimanapun sebagai penyair, beliau mahu menentang zaman yang dilihat sebagai terlalu kebaratan dan liberal, tetapi ia tidak dapat dilakukan menggunakan puisi sepenuhnya.

"Ada beberapa perjalanan yang menggambarkan malam sebagai suasana sunyi dan bulan retak yang saya lihat ia sebagai usaha SM Zakir mencari kata-kata dalam dirinya, tetapi beliau tidak dapat menemukan apa-apa.

"Itulah konflik dialami penyair dengan bahasa dan beliau terperangkap antara menggunakan puisi untuk mengubah masyarakat, tetapi pada masa sama, dikelilingi kebisingan iaitu liberalisme yang digambarkan dalam setiap perjalanan itu," katanya.

Berita Harian X