Rabu, 31 Mei 2017 | 12:01am

Isteri berpantang di pusat jagaan, Shaheizy Sam perbetul persepsi

ENGGAN menyusahkan ibu dan keluarga mentua mendorong Shaheizy Sam bersama isterinya, Syatilla Melvin memilih berpantang di pusat jagaan berhampiran kediaman mereka di Hulu Klang, Selangor.

Sejak Syatilla melahirkan anak sulung lelaki pada 9 Mei lalu, keluarga kecil Sam menetap sementara di pusat berkenaan bagi membolehkan kedua-dua insan kesayangannya itu mendapat penjagaan rapi.

"Memang ada yang bertanya mengapa isteri tidak berpantang di rumah. Sebenarnya, kami sudah berfikir panjang sebelum mencari pusat penjagaan ini. Mommy (ibu) saya sudah berusia, biarlah dia berehat tanpa dibebankan menjaga cucu.

"Mak mentua yang tinggal di Pulau Pinang pula perlu menjaga anak-anak yang masih bersekolah. Tidak adil kalau kalau kami memintanya datang ke Kuala Lumpur sepanjang tempoh itu.

"Kebetulan kami dimaklumkan mengenai pusat ini beberapa minggu sebelum tarikh kelahiran. Saya dan isteri terus pergi melihat sendiri perkhidmatan yang ditawarkan.

"Mungkin disebabkan berpantang di pusat seumpama ini masih terlalu asing, orang nampak janggal. Tetapi seperti di rumah, isteri saya turut bertungku dan berurut di premis jagaan ini," katanya kepada BH Plus.

Sam mengulas persepsi segelintir peminat yang janggal melihat Syatilla yang melahirkan anak sulung mereka, berpantang di pusat jagaan bukan di rumah keluarga mereka.

Takut mandikan anak

Akui aktor berusia 35 tahun itu, penjagaan rutin bayi yang sangat teliti selain pelbagai kemudahan menjadi antara faktor yang membuatkan mereka sepakat menginap di pusat penjagaan terbabit.

Kesibukan tugas juga membuatkan pelakon yang selesa disapa Sam itu lega menempatkan dua insan tercintanya di premis berkenaan.

"Kalau ikutkan dalam tempoh sebulan kami akan tinggal di pusat penjagaan ini hingga Syatilla benar-benar sihat. Selepas itu, dia sambung berpantang sampai 44 hari di rumah.

"Alhamdulillah, tempat ini memang bagus kerana sentiasa ada jururawat yang tolong menjaga isteri dan anak saya. Jadi, ketika bekerja, saya tidak risau sangat. Keluarga terdekatpun boleh datang melawat.

"Cuma macam orang lain, selepas ada anak, perasaan mahu cepat pulang semakin meluap-luap. Kadang-kadang macam angau pula sampai leka tengok si kecil berjam-jam.

"Itulah rupanya perasan seorang bapa atau ibu terhadap anak masing-masing. Itulah juga yang membuatkan perasaan sayang pada Mommy semakin menebal," katanya.

Ditanya sama ada turut menyingsing lengan membantu Syatilla menguruskan bayi mereka, akuinya, setakat ini pertolongan diberi sekadar menukar lampin atau memakai baju.

Bukan terlalu ligat bekerja hingga tiada masa, sebaliknya kata Sam, saiz permata hati mereka yang masih terlalu kecil membuatkannya takut untuk memandikan anak.

Dapat banyak hadiah

Sementara itu, Sam memberitahu, dia belum bersedia mendedahkan wajah dan nama bayinya hingga tiba waktunya. Sam membuat keputusan itu selepas mendengar pesanan orang tua.

Bagaimanapun, Sam tidak kisah berkongsi perbincangannya bersama Syatilla untuk 'menurunkan' nama Sam kepada si kecil mengikut namanya.

Sam bersyukur rezeki anaknya itu dimurahkan Allah apabila bayinya menerima pelbagai kiriman hadiah istimewa sebelum dilahirkan.

"Sampai sekarang kami belum sempat membeli barang keperluan anak. Ini kerana hadiah yang diterima lebih daripada mencukupi. Daripada baju hingga kereta sorong, katil bayi dan peralatan lain semuanya cukup.

PELAKON, Shaheizy Sam. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PELAKON, Shaheizy Sam. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Kami enggan membazir membeli lagi kerana bayi cepat besar. Lebih baik kami fikirkan simpanan untuk masa depan anak terutama membabitkan pendidikannya," katanya.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Sam baru menyudahkan penggambaran sebuah telefilem arahan Ghaz Abu Bakar yang juga sutradara kegemarannya. Selepas Aidilfitri, Sam dijangka mula menjalani penggambaran filem Polis Evo 2.

INFO

  • Berpantang di pusat jagaan masih terlalu asing.
  • Syatilla turut bertungku dan berurut di pusat jagaan.
  • Dimaklumkan mengenai kewujudan pusat jagaan beberapa minggu sebelum tarikh kelahiran.
  • Belum bersedia mendedahkan wajah dan nama bayi.
Berita Harian X