Selasa, 30 Mei 2017 | 12:01am

Zarul Umbrella lebih 'laku' jadi pelakon

KUALA LUMPUR: Selepas meninggalkan karier sebagai pramugara Malaysia Airlines (MAS) dan lima bulan bergelar artis sepenuh masa, Zarul yang mencipta nama dengan kumpulan Umbrella pada era 1990-an semakin sibuk menjalani penggambaran drama.

"Jika diikutkan, keutamaan saya adalah pada bidang nyanyian. Namun, kebelakangan ini, tawaran berlakon pula yang datang.

"Saya jadi keliru apakah diri ini pelakon atau penyanyi. Janggal rasanya kenapa tawaran berlakon pula yang diterima.

"Malah disebabkan sibuk berlakon, beberapa tawaran menyanyi terpaksa ditolak pihak pengurusan. Namun, setakat ini semuanya masih terkawal. Saya hanya mahu menjaga momentum itu," katanya.

Namun, dunia lakonan masih terlalu baru bagi Zarul atau nama sebenarnya, Zairulkefli Husin, 44. Dia mula diberi peranan melalui drama Cik Serba Tahu. Kemudian Zarul menggalas watak utama dalam telefilem Misteri Sofa Lama berganding dengan Intan Sarafina.

ZARUL atau nama sebenarnya, Zairulkefli Husin. - Foto Hasriyasyah Sabudin
ZARUL atau nama sebenarnya, Zairulkefli Husin. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Seterusnya, Zarul tampil dengan dua telefilem raya iaitu Menantu Malam Raya dan Gitu Gitu Raya.

"Sebenarnya, saya belum selesa dengan dunia lakonan. Masih kekok dan saya anggap ia proses pembelajaran terbaik.

"Pendek kata, saya sedang membiasakan diri. Saya dapat peluang menjayakan teraju utama dalam telefilem Misteri Sofa Lama. Saya percaya setiap lakonan tanpa mengira watak utama atau tidak, ia memberi justifikasi tersendiri.

"Saban hari saya cuba perbaiki kelemahan dalam dunia lakonan. Ada kejanggalan tapi semakin hari saya cuba meningkatkan diri," katanya.

Tidak hairanlah, ada peminat musykil apakah ada ruang bagi Zarul mengukuhkan kedudukannya selepas impak dicetuskan dalam musim ketiga program realiti, Gegar Vaganza (GV), tahun lalu.

Ramai menantikan Zarul tampil dengan produk yang benar-benar memberi kesan terhadap kesinambungan karier penyanyi lagu Ramalanku Benar Belaka ini selepas era Umbrella.

ZARUL mengaku tidak pernah menyesal meninggalkan karier sebagai pramugara MAS yang menjadi sumber rezekinya selama 17 tahun. - Foto Saifullizan Tamadi
ZARUL mengaku tidak pernah menyesal meninggalkan karier sebagai pramugara MAS yang menjadi sumber rezekinya selama 17 tahun. - Foto Saifullizan Tamadi

Enggan menoleh ke belakang, Zarul atau nama sebenarnya, Zairulkefli Husin mengaku tidak pernah menyesal meninggalkan karier sebagai pramugara Malaysia Airlines (MAS) yang menjadi sumber rezekinya selama 17 tahun.

Bagai mengesahkan keputusan dibuat adalah tepat, penyanyi yang mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan ini memberitahu, jadual persembahan dan komitmen lain yang harus dipikulnya padat hingga Ogos depan.

"Secara jujur saya tak pernah menyesal atau rasa berbolak balik (mengenai keputusan meletakkan jawatan sebagai pramugara).

"Saya sudah fikir nekad. Namun, saya tak boleh tipu perasaan rindu hendak 'terbang' ke negara orang kadang-kala datang.

"Apatah lagi melihat kawan-kawan di tempat kerja lama, memang rindu nak melalui semua itu. Hampir dua dekad saya bekerja di awan biru, mestilah rasa rindu.

"Tapi saya tak menyesal berhenti kerja. Saya hanya mahu pandang ke depan. Saya percaya rezeki itu sentiasa ada," katanya kepada BH Plus.

ZARUL ketika menyertai program realiti Gegar Vaganza, tahun lalu. - Foto Saifullizan Tamadi
ZARUL ketika menyertai program realiti Gegar Vaganza, tahun lalu. - Foto Saifullizan Tamadi

Cari lagu baharu lepas Aidilfitri

Dalam sibuk di lokasi penggambaran, Zarul tetap meneruskan karier nyanyian.

"Saya ada merakamkan lagu baharu. Namun, pihak pengurusan fikir lagu itu tidak sesuai. Pada asalnya, single itu dicadangkan menjadi lagu tema drama Cik Serba Tahu. Disebabkan ia dihasilkan dalam keadaan tergesa-gesa, jadi hasilnya tak menepati piawaian," katanya.

Enggan terburu-buru merakamkan lagu, Zarul mahu mendapatkan single lain selepas Aidilfitri.

"Saya tak mahu terburu-buru dalam hal ini. Insya-Allah selepas raya nanti, saya akan cuba dapatkan lagu baharu," katanya.

INFO

  • Nama penuh, Zairulkefli Husin
  • Menjadi pramugara MAS selama 17 tahun
  • Meraih tempat ketiga pada pertandingan nyanyian, Gegar Vaganza (GV) musim ketiga.
  • Pernah berduet dengan Marsha dengan lagu Satu Rasa.
  • Kali terakhir mempromosikan single solo berjudul Jangan Pernah.
Berita Harian X