Sabtu, 13 Mei 2017 | 12:02am

Red Velvet Brownies

RED Velvet Brownies. - Foto Rohanis Shukri
RED Velvet Brownies. - Foto Rohanis Shukri

TAHUKAH anda memasak mampu menghilangkan tekanan. Menurut beberapa kajian yang dijalankan di klinik Amerika, proses memasak atau membuat kuih dijadikan sebagai terapi kepada pesakit murung.

Bagaimanapun, ini bukanlah bererti apabila kita memasak kerana sedang murung, namun ia adalah suatu terapi yang mampu menggembirakan diri. Disamping itu anda juga dapat meningkatkan kemahiran memasak.

Minggu ini, pembuat kek dan pastri separuh masa, Waty Noor Lily Mohd Noor, 44, bermurah hati untuk berkongsi resipi Red Velvet Brownies untuk beri galakan kepada orang lain untuk memasak dan mencuba sesuatu yang baru.

GABUNGAN dua adunan, rasanya seperti nikmati dua kek. - Foto Rohanis Shukri
GABUNGAN dua adunan, rasanya seperti nikmati dua kek. - Foto Rohanis Shukri

Berikan kepuasan

Jelasnya, membuat kek tidak sukar seandainya mempunyai minat dan ia juga boleh dipupuk. Malah, Waty Noor Lily kerap menerima tempahan daripada rakan yang ingin merasakan air tangannya dan juga sering berkongsi minatnya itu menerusi intagram, sweet.xclusivity.

"Kepuasan adalah apabila sesuatu yang dihasilkan itu menjadi dan orang lain yang menikmatinya juga berpuas hati. Resipi kali ini saya menggabungkan red velvet ke dalam brownies. Rasanya unik namun menyeronokkan. Ia seperti menikmati dua kek di dalam satu," katanya.

BAHAN utama membuat Red Velvet Brownies. - Foto Rohanis Shukri
BAHAN utama membuat Red Velvet Brownies. - Foto Rohanis Shukri

Bahan-bahannya

-128 gram (g) mentega

-1 1/8 cawan gula kastor

-1 sudu teh vanilla

-3 biji telur saiz A

-8g cip coklat

-1 sudu besar pewarna merah pekat

-1 1/8 cawan tepung kek

-1 1/8 sudu kecil serbuk penaik

-Secubit garam

Inti biskut oreo

-137 g biskut Oreo

-50 g mentega yang dicairkan

Cara-caranya

1. Mentega dicairkan dengan menggunakan api kecil

2. Setelah cair, tutup api dan gaulkan bersama-sama biskut oreo

3. Asingkan

Topping coklat

-3/4 cawan cip coklat

-1/2 cawan krim tenusu

Cara-caranya

1. Tuangkan krim tenusu yang dicampurkan dengan cip coklat menggunakan kaedah "double boiler"

2. Kacau sehingga sebati.

3. Asingkan

Cara-cara membuat Red Velvet

1. Cairkan mentega sehingga keperangan kemudian masukkan gula kastor

2. Tambahkan esen vanilla dan kacau adunan dengan spatula sehingga sebati.

3. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan kacau sebati.

4. Masukkan pula cip coklat yang telah dicairkan kemudian tambahkan pewarna merah dan kacau sebati

5. Akhir sekali masukkan tepung, serbuk penaik, garam dan kacau hingga sebati menggunakan spatula.

6. Bakar di dalam ketuhar pada suhu 160 darjah selama 30 minit. Biarkan kek yang sudah masak itu di suhu bilik.

7. Ratakan topping coklat di atas kek dan taburkan oreo

Tips membuat red velvet brownies

  • Pewarna merah itu perlu warna yang terang
  • Penggunaan koko menyebabkan warna lain sukar untuk masuk ke dalam kek terbabit
  • Kenali ketuhar anda, ubah suai suhu mengikut kesesuaian
Berita Harian X