Isnin, 8 Mei 2017 | 12:01am

Sastera lisan Melayu ditenggelami limpahan dongeng Barat

MODERATOR, Sayed Munawar (kiri) bersama penulis, Mohamad Shahidan (dua dari kiri), Jaafar Taib (dua dari kanan) dan Mahaya Mohd Yasin ketika Wawancara Sofa Putih ITBM di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon
MODERATOR, Sayed Munawar (kiri) bersama penulis, Mohamad Shahidan (dua dari kiri), Jaafar Taib (dua dari kanan) dan Mahaya Mohd Yasin ketika Wawancara Sofa Putih ITBM di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Berapa kerap hari ini kita mendengar kisah sastera lisan dalam tradisi Melayu seperti Pak Pandir, Lebai Malang atau Kisah Sang Kancil berbanding dengan 'limpahan' kisah dongeng Barat seperti Snow White?

Watak Snow White dan tujuh lelaki kerdil itu kerap diulang-ulang yang bukan sekadar dalam bentuk buku untuk bacaan kanak-kanak, malah adaptasinya ke filem yang menelan kos jutaan dolar yang turut menarik penonton dewasa di seluruh dunia.

Apakah sikap terhadap sastera lisan budaya Melayu hari ini menunjukkan ia lenyap daripada memori bangsa seperti disorot pada Wawancara Sofa Putih Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) di Reruai ITBM pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Kartunis dan pelukis tersohor, Jaafar Taib, berkata kurangnya semangat nasionalisme dan patriotisme menyebabkan usaha menyelongkar khazanah Melayu berlaku sangat sedikit dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Lawan agenda neokolonialisme

Beliau berkata, tanpa semangat nasionalisme dan patriotisme, masyarakat akan terus mengambil apa-apa sahaja yang 'disogok' Barat termasuk dalam hal dongeng tradisi mereka bagi menggantikan cerita sastera lisan masyarakat Melayu yang membawa isian ilmunya tersendiri.

"Jika begini keadaannya, bagaimana kita mahu melawan agenda neokolonialisme Barat yang menggunakan buku sebagai medium yang memiliki kuasa dalam mengkiblatkan pemikiran supaya mereka dipandang hebat.

"Kita tidak dapat menentangnya dalam keadaan nasionalisme masyarakat itu sendiri sering hambar," katanya pada acara berjudul Sang Kancil dan Cerita Rakyat: Masih Relevankah Masa Kini dan Sejauh Mana Boleh Pergi yang turut disertai Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohamad Shahidan dan Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Mahaya Mohd Yasin.

Senada dengan Jaafar ialah Mohamad yang mengkritik masyarakat di negara ini kurang memiliki kecintaan dan pemahaman terhadap tradisi lama.

Beliau berkata, di Barat usaha mengekalkan dongeng rakyatnya berjalan hingga kini, malah watak berusia berkurun itu diberi kesinambungan dan dikekalkan dengan mengambil latar masa kini seperti dilakukan beberapa produksi filem antarabangsa.

Perihal sambutan masyarakat luar itu tidaklah menghairankan terutama melihat bagaimana Barat 'melayan' karya besarnya termasuk Shakespeare yang diperkenalkan dalam semua peringkat pengajian.

"Apa yang saya lihat, masyarakat masih memandang rendah cerita rakyat yang kita miliki menyebabkan usaha memeliharanya tidak dilakukan sepenuhnya.

"Jika kita sendiri tidak tahu hebatnya cerita tradisi Melayu daripada Kisah Malim Deman hinggalah kepada Raja Anggun Cik Tunggal, mana mungkin cerita sebegini boleh diangkat ke medium lain," katanya.

Selongkar tradisi Melayu

Sementara itu, Mahaya berkata, sudah tiba masanya tinggalan tradisi Melayu ini diselongkar supaya ia tidak terus tersisih pada masa hadapan.

Katanya, gabungan nilai murni yang besar dan muatan ilmu yang dibawa melalui persembahan bahasa yang tulen serta menggambarkan jati diri dan roh Melayu perlu diberi kesinambungan dengan secepat mungkin.

Secara drastik katanya, penerbit buku juga perlu mula memberi tumpuan pada penerbitan karya sebegini, bukan saja untuk kalangan kanak-kanak malah remaja dan dewasa.

Berita Harian X