Sabtu, 29 April 2017 | 12:07am

Seorang daripada lima lelaki lemah syahwat

KUALA LUMPUR: Gaya hidup sibuk menjadi antara faktor peningkatan kadar kegagalan ereksi (ED) atau lemah syahwat dalam kalangan lelaki di negara ini.

Dianggarkan seorang daripada lima lelaki di negara ini mengalami ED yang turut berpunca akibat penyakit seperti diabetes, hipertensi, prostat dan kemurungan.

Bagaimanapun, kira-kira 90 peratus masalah ED di negara ini berlaku dalam kalangan lelaki yang mengalami diabetes.

Perunding Urologi dan Ketua Unit Urologi Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Zulkifli Md Zainuddin, berkata terlalu mementingkan kerjaya menjadi punca lelaki mengalami ED.

PERUNDING Urologi dan Ketua Unit Urologi Fakulti Perubatan UKM, Prof Datuk Dr Zulkifli Md Zainuddin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PERUNDING Urologi dan Ketua Unit Urologi Fakulti Perubatan UKM, Prof Datuk Dr Zulkifli Md Zainuddin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bimbang punca tertekan

Beliau berkata, jenis ED terbahagi kepada dua iaitu psikogonik iaitu lebih kepada psikologi dan organik yang berpunca daripada penyakit.

"Punca ED sebenarnya lebih kepada psikologi dalam sesetengah individu seperti faktor kebimbangan kerana pertama kali melakukan hubungan.

"Faktor lain termasuk harapan tinggi mencapai apa yang dilihat atau didengari sebelum ini sehingga menimbulkan tekanan," katanya.

ED perlu dirawat sama ada berpunca daripada psikogonik atau organik kerana memberikan kesan ke atas hubungan suami isteri.

Teruskan makan ubat

Sementara itu, Pakar Bedah Urologi, Pusat Perubatan Gleneagles Kuala Lumpur, Prof Dr George Lee Eng Geap, berkata kesibukan mengejar material menyebabkan pasangan mengenepikan hubungan intim sehingga menjadi punca ED.

"Hubungan intim secara spontan bakal menjadi sesuatu yang 'mewah' pada abad ke 21 disebabkan kesibukan berkerjaya berbanding hubungan intim," katanya.

Antara rawatan awal ED organik adalah meneruskan makan ubat bagi penyakit yang dideritai dan mengurangkan risiko kardio sebelum mengambil pil seperti viagra.

Sekiranya pil gagal, pesakit boleh menggunakan vakum atau suntikan dan langkah terakhir menjalani pembedahan implan menggunakan pam air.

HUBUNGAN dingin risiko alami ED. - Foto hiasan
HUBUNGAN dingin risiko alami ED. - Foto hiasan

Fakta nombor
Punca ED berdasarkan Kajian Global Tabiat Seksual Pfizer di tujuh negara:

  • 36 peratus - Tekanan darah tinggi.

  • 30 peratus - Kolesterol tinggi
  • 26 peratus - Masalah prostat
  • 22 peratus - Kemurungan
  • 19 peratus - Diabetes
  • 17 peratus - Arthritis
Berita Harian X