Ahad, 16 April 2017 | 12:00am

Mawi jadi pengarah filem

Julai depan, portfolio penyanyi yang pernah mencetuskan fenomena, Mawi, bertambah daripada pengarah dan penerbit drama kepada sutradara filem menerusi pembikinan Rock Sangkut.

Diangkat daripada telefilem terbitan Mawi World Entertainment (MWE) yang pernah disiarkan di televisyen, filem komedi itu masih berteraskan mesej Islamik.

Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 35, mengakui memilih genre ringan sebagai taruhan sulung produksi miliknya, namun setiap pengisian masih mengekalkan kehendak penonton selain diharap meninggalkan impak.

"Pengalaman mengarahkan enam telefilem termasuk Rock Sangkut yang disiarkan tiga tahun lalu membuatkan saya yakin memberikan sentuhan terhadap produk layar perak.

"Sejak penubuhan MWE pada 2005, saya belajar dunia penerbitan daripada bawah, malah boleh dikatakan hingga sekarang saya masih menimba ilmu daripada rakan artis dan pengarah lain yang jauh berpengalaman.

MAWI atau nama sebenarnya, Asmawi Ani mengakui memilih genre ringan sebagai taruhan sulung produksi miliknya, namun setiap pengisian masih mengekalkan kehendak penonton selain diharap meninggalkan impak. - Foto Aziah Azmee
MAWI atau nama sebenarnya, Asmawi Ani mengakui memilih genre ringan sebagai taruhan sulung produksi miliknya, namun setiap pengisian masih mengekalkan kehendak penonton selain diharap meninggalkan impak. - Foto Aziah Azmee

"Memang impian menghasilkan filem sendiri sudah lama terpendam dan apabila peluang serta rezeki datang, saya bulatkan tekad meneruskan projek ini," katanya yang kini turut membintangi filem Munafik 2.

Tidak lokek ilmu

Akui Mawi lagi, buat masa ini, tumpuannya masih kepada penggambaran filem di bawah arahan Syamsul Yusof, yang hanya dijadualkan selesai menjelang 8 Mei depan.

"Sebenarnya, pengalaman bekerja dengan Pengarah Filem Terbaik seperti Syamsul juga adalah rezeki. Allah seperti sudah mengaturnya dengan baik kerana saya juga banyak belajar daripada beliau.

"Begitu juga dengan ayahnya yang juga sutradara dihormati, Datuk Yusof Haslam. Mereka sekeluarga tidak lokek berkongsi pengalaman, tips dan pelbagai ilmu di lapangan perfileman.

"Ia rahmat besar kepada saya ketika proses pra produksi untuk Rock Sangkut bakal bermula selepas ini. Insya-Allah, MWE bakal menjalin kerjasama dengan Skop Productions bagi projek filem sulung kami nanti," kongsinya lagi.

Kekalkan pelakon asal kecuali Along

Ditanya alasan memilih bahan yang sudah dipersembahkan di kaca TV, beliau menegaskan sambutan peminat, yang kerap memuatnaik status tatkala telefilem itu ditayang semula, membuatkannya yakin kisah itu masih didambakan.

"Rock Sangkut berkisar impian tiga sahabat karib yang bercita-cita menjadi penyanyi rock. Plot untuk layar perak sudah semestinya semakin dikembangkan dengan penambahan beberapa karakter baharu.

"Setakat ini saya sudah mengajukan tawaran kepada pelakon asal seperti Hazama dan Joey Daud, manakala watak Along Cham bakal diganti orang lain kerana beliau mempunyai komitmen lain," katanya.

PERSEMBAHAN Syamsul Yusof dan Mawi dengan lagu Kalah Dalam Menang pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 31 di PWTC. - Foto Saifullizan Tamadi
PERSEMBAHAN Syamsul Yusof dan Mawi dengan lagu Kalah Dalam Menang pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 31 di PWTC. - Foto Saifullizan Tamadi

Gandingan menjadi bersama Syamsul

Sementara itu, mengenai gandingan serasinya bersama Syamsul menerusi lagu Kalah Dalam Menang dan Bukan Propaganda, ia bakal dilanjutkan menerusi sebuah lagi dendangan duet.

Namun, lagu yang bakal menyusul nanti belum dapat dikongsikan. Apa yang mampu diperkatakan, ia akan menjadi lagu latar kepada filem Munafik 2 yang menyaksikan Mawi berlakon sebagai pemandu bot bernama Azhar.

"Saya akan tetap menyanyi walau kini dilihat semakin ligat dalam kerja penerbitan. Menyanyi ialah pencetus saya memulakan langkah di arena seni, cuma setiap yang mahu direalisasikan perlu dirancang sebaik mungkin.

"Saya terharu apabila menerusi gandingan dengan Syamsul, kami antara nama yang disenaraikan dalam pemilihan Anugerah Bintang Popular BH ke-30 (ABPBH 3.0) musim ini," luahnya penuh rasa terharu.

gn4id:20048584

Menangis tiga bulan selepas menang/b>

Pernah menyandang gelaran Bintang Paling Popular ABPBH selama tiga tahun berturut-turut, kata Mawi, majlis pengiktirafan berprestij itu secara peribadi cukup berbekas dalam kerjaya dan kehidupannya.

"Bayangkan dalam tempoh tidak sampai enam bulan bergelar juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), saya sudah menggenggam trofi Bintang Paling Popular yang sememangnya menjadi idaman ramai.

"Waktu itu, saya masih budak hingusan yang belum tahu apa-apa. Antara terkejut, sayu, takut dan terharu bersilih ganti. Saya menangis selama tiga bulan kerana masih tidak percaya diundi ramai sebagai paling popular.

"Kehidupan saya berubah hampir 360 darjah. Jujur saya katakan ketika itu saya terpaksa mengambil masa untuk memahami serta menerima perubahan yang berlaku itu.

"Apa pun saya tidak menyesal. Percaya atau tidak, ketika membaca kisah atau berita sendiri di akhbar dan mendengar lagu nyanyian di radio juga air mata saya boleh menitis. Itulah penangan ABPBH yang membuatkan saya terus terkenang hingga kini," katanya.

Info:

* Mawi menjadi juara program Akademi Fantasia musim ketiga pada Ogos 2005.

* Enam bulan kemudian, beliau diumumkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 2005.

* Mawi turut mengulangi pencapaian itu bagi edisi 2006 dan 2007.

* Berkahwin dengan Nora'Asikin Rahmat atau Ekin pada 2008 dan dikurniakan cahaya mata perempuan pada Februari 2012.

* Sehingga kini sudah memiliki sembilan album dan antara lagu popularnya ialah Aduh Saliha, Lagu Jiwa Lagu Cinta, Kian, Cinta Zulaikha, Al-Jannah, Tak Mungkin Berpaling, Al Haq Yang Satu, Al Nuraa ... Yang 5 ... Yang 6 dan Kalah Dalam Menang.

* Sehingga kini, Mawi menyimpan keratan akhbar mengenai kerjaya dan dirinya yang tersiar di akhbar mahupun majalah.

Tamat

Berita Harian X