Jumaat, 7 April 2017 | 12:14am
MD Nasir (kiri) mengusahakan tanaman itu sejak dua tahun lalu. - Foto Mohd Aidil Abdullah
MD Nasir (kiri) mengusahakan tanaman itu sejak dua tahun lalu. - Foto Mohd Aidil Abdullah

Tumbuhan syurga bantu jana pendapatan

KUCHING: Terdorong dengan keistimewaan buah tin seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran, Kapten (B) Md Nasir Md Zain mengambil inisiatif mengusahakan tanaman itu sejurus menamatkan perkhidmatannya sebagai anggota tentera.

Di atas sebidang tanah seluas 0.81 hektar miliknya, beliau menanam lebih 300 spesies pokok berkenaan di ladang yang dinamakan Serapi Garden, terletak di pinggir bandar raya ini.

Md Nasir berkata, beliau mengusahakan tanaman itu sejak dua tahun lalu dan pada peringkat awalnya berdepan pelbagai masalah apabila sesetengah spesies pokok berkenaan sukar tumbuh serta tidak subur.

"Saya akui, memang sukar untuk mengusahakan tanaman barakah ini dan banyak cabaran perlu ditempuhi. Namun, mengusahakan tanaman ini mampu mempertingkatkan daya kesabaran, selain memberi motivasi kepada saya dan keluarga

"Berkat kesungguhan mempelajari teknik tanaman dan pengurusan pokok, akhirnya saya menemui formula bagi memastikan tanaman itu hidup subur, sekali gus mendorong peningkatan pengeluaran buah tin," katanya kepada BH Plus.

Kesungguhan Md Nasir itu membuktikan bahawa pokok buah tin yang berasal dari Timur Tengah, bersesuaian ditanam di Malaysia, khususnya Sarawak, sekali gus berpotensi menjana pendapatan lumayan.

"Tidak hanya sekadar menjadikan buah tin sebagai sumber pendapatan utama, saya turut menjadikan sebahagian daripada menu diet setiap hari bagi menjaga kesihatan.

MD Nasir (kanan) berkongsi pengetahuan mengenai tanaman pokok tin kepada orang ramai. - Foto Mohd Aidil Abdullah
MD Nasir (kanan) berkongsi pengetahuan mengenai tanaman pokok tin kepada orang ramai. - Foto Mohd Aidil Abdullah

"Selain enak dimakan segar, buah tin juga boleh dibuat halwa, jus serta jem. Manakala daunnya boleh dijadikan teh untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti merawat kencing manis, jantung dan kanser.

"Getah pokok ini juga boleh dijadikan ubat untuk sakit gigi dan mempercepatkan proses pemekatan dalam pembuatan keju. Lain-lain kegunaan pokok tin ialah bahan untuk membuat kosmetik termasuk minyak wangi dan melembutkan daging dalam masakan," katanya.

Katanya, beliau tidak pernah terfikir pokok itu boleh tumbuh di bumi Malaysia, namun apabila mengetahui ramai pengusaha sudah berjaya seperti di Melaka, Kuala Lumpur, Perak, Johor dan Pahang, lalu ingin mencubanya.

"Dengan izin Allah dan sedikit usaha membolehkan ia tumbuh segar di Serapi Garden. Menariknya, pokok tin mampu berbuah sepanjang tahun jika ditanam di negara ini berbanding hanya berbuah dua kali di Asia Barat dan Eropah yang mempunyai cuaca berbeza.

"Kelebihan berbuah sepanjang tahun pastinya memberi keuntungan kepada pengusaha tanaman yang mendapat permintaan dan harga yang tinggi di pasaran ini,' katanya.

Md Nasir yang juga Presiden Persatuan At Tin Sarawak (SATINA), berkata buah tin mendapat permintaan tinggi di negara ini kerana memiliki banyak khasiat, malah dijual pada harga tinggi mencecah RM75 sekilogram.

POKOK tin mampu berbuah sepanjang tahun jika ditanam di negara ini. - Foto Mohd Aidil Abdullah
POKOK tin mampu berbuah sepanjang tahun jika ditanam di negara ini. - Foto Mohd Aidil Abdullah

Md Nasir berkata, bagi berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam tanaman pokok tin dengan orang ramai, beliau mengadakan kursus penanaman pokok tin setiap bulan.

"Mungkin orang tidak tahu akan kelebihan pokok tin menyebabkan tidak ramai petani di Sarawak mahu mengusahakannya.

"Sedangkan tumbuhan ini mendapat permintaan tinggi kerana khasiat yang banyak merangkumi buah, daun dan getahnya," katanya.

MD Nasir menunjukkan pokok tin yang sudah berbuah di ladangnya, Serapi Garden. - Foto Mohd Aidil Abdullah
MD Nasir menunjukkan pokok tin yang sudah berbuah di ladangnya, Serapi Garden. - Foto Mohd Aidil Abdullah

INFO

  • Disebutkan sebagai `buah barakah' dalam al-Quran
  • Miliki kandungan serat yang tinggi
  • Kaya dengan kalsium dan potasium 
  • Mengandungi zat 'benzaldehyde' untuk mencegah kanser
  • Rendah lemah dan kalori, selain mengandungi Omega 3, Omega 6 untuk mencegah penyakit jantung

FAKTA NOMBOR

- 0.81 hektar keluasan ladang

- 1,000 batang pokok 

- RM75 sekilogram harga pasaran

- 300 spesies pokok Buah Tin

Berita Harian X