Rabu, 5 April 2017 | 12:16am
SOFINEE Harun bersama pelarian kanak-kanak. - Foto Zaharah Othman
SOFINEE Harun bersama pelarian kanak-kanak. - Foto Zaharah Othman

Kumpul mi segera, jubah dan tudung untuk Syria

BANDAR BARU NILAI: Mi segera perisa ayam dan mi goreng keluaran Malaysia kini menjadi antara menu paling praktikal dan digemari di beberapa kem pelarian di Syria.

Hidangan segera itu adalah sumbangan rakyat Malaysia melalui projek kutipan derma dinamakan 'Kontena Bantuan untuk Syria' digerakkan pasangan Sofinee Harun, 42, dan suaminya, Jamalulail Ismail, 48.

Kedua-dua mereka adalah penggerak utama Kitchen In Calais (KiC), yang sebelum ini mendapat banyak liputan media kerana menyediakan makanan percuma di penempatan pelarian dikenali sebagai 'The Jungle' di Calais, Perancis.

Projek terbaharu KiC dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia selain Al Fatiha Global di Syria itu, digerakkan apabila mereka menyedari keperluan pelarian yang masih berada di negara bergolak itu.

Sofinee berkata, mereka mengharapkan sokongan lebih ramai rakyat Malaysia dengan matlamat menghantar beberapa jenis makanan segera serta pakaian yang sesuai dengan suasana kem pelarian terbabit.

"Februari lalu, kami memulakan projek 'Aid Container for Syria 1.0' (Kontena Bantuan untuk Syria 1.0) dengan matlamat mengumpul sebanyak mungkin bantuan untuk dimasukkan ke dalam sebuah kontena besar dan dihantar ke Syria.

SOFINEE Harun dan Jamalulail Ismail memulakan projek 'Aid Container for Syria 1.0' (Kontena Bantuan untuk Syria 1.0). - Foto Eizairi Shamsudin
SOFINEE Harun dan Jamalulail Ismail memulakan projek 'Aid Container for Syria 1.0' (Kontena Bantuan untuk Syria 1.0). - Foto Eizairi Shamsudin

JAMALULAIL Ismail dan Sofinee Harun mengendalikan Kitchen In Calais (KiC) di Calais, Perancis. - Foto Zaharah Othman
JAMALULAIL Ismail dan Sofinee Harun mengendalikan Kitchen In Calais (KiC) di Calais, Perancis. - Foto Zaharah Othman

"Alhamdulillah, sambutan diterima amat menggalakkan selepas hebahan dibuat di laman Facebook KiC dan 'Aid Container for Syria' selain rangkaian kenalan di Malaysia. Kita berjaya memenuhkan sebuah kontena dan menghantarnya ke Syria hujung bulan lalu," katanya kepada BH Plus di sini.

Sofinee berkata, selain mi segera, makanan dalam tin serta pakaian wanita terutama tudung dan jubah yang mudah diperoleh di Malaysia, menjadi antara barangan yang dikehendaki pihaknya untuk pelarian Syria.

Katanya, mi segera yang menjadi pilihan adalah perisa ayam dan mi goreng kerana rakyat Syria biasanya kurang menggemari makanan pedas.

"Sebenarnya, pelarian di kem terbabit banyak menerima bantuan daripada NGO seluruh dunia, bagaimanapun sebahagian sumbangan makanan tidak dijamin halal, manakala pakaian pula tidak menggambarkan identiti wanita Islam.

"Justeru, kita memberi tumpuan mengumpulkan bantuan yang tidak disediakan oleh NGO lain. Makanan dihantar semuanya halal dan mudah disediakan, manakala jubah dan tudung pula sesuai dengan budaya dan agama mereka," katanya.

Beliau berkata, mereka menerima bantuan daripada ramai sukarelawan tempatan termasuk pelajar tempatan dan luar negara yang belajar di universiti serta kolej di Malaysia yang membantu menguruskan pengumpulan bantuan. 

Katanya, susulan kejayaan program pertama, pihaknya menganjurkan kutipan kali kedua yang dijangka dihantar ke Syria pada pertengahan Mei depan.

PENGGERAK utama Kitchen In Calais (KiC), Sofinee Harun dan Jamalulail Ismail. - Foto Zaharah Othman
PENGGERAK utama Kitchen In Calais (KiC), Sofinee Harun dan Jamalulail Ismail. - Foto Zaharah Othman

INFO

10,000 bungkus mi segera

Sumbangan dikehendaki:

Makanan segera dalam tin serta mi segera perisa ayam dan mi goreng

Pakaian: Jubah lelaki dan wanita, seluar lelaki, tudung serta kemeja-T

Sumbangan boleh dihantar ke: No 17 dan 18, Jalan Nilai Square 1, Nilai, Negeri Sembilan atau hubungi 019-3162314 untuk maklumat lanjut

Facebook: Kitchen in Calais dan Aid Container For Syria.

Berita Harian X