Isnin, 3 April 2017 | 12:02am
SARJANA Sastera Tradisional, Dr Harun Mat Piah. - Foto Asyraf Hamzah
SARJANA Sastera Tradisional, Dr Harun Mat Piah. - Foto Asyraf Hamzah

Perubatan tradisional perlu disebar

gn4id:19821234

JIKA dahulu kajian ilmu perubatan Melayu hanya dilihat sebagai cabang kajian dunia akademik membabitkan pengajian Melayu, hari ini banyak usaha dibuat untuk mengaplikasikan khazanah perubatan tradisional itu.

Malah, sudah ada kerjasama terjalin antara pakar ilmu perubatan Melayu dengan beberapa kementerian, misalnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membangunkan ubat-ubatan berdasarkan ilmu berkenaan.

Sarjana Sastera Tradisional, Dr Harun Mat Piah, ketika diundang sebagai pemakalah Siri Seminar Naskhah Melayu di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) di sini, menyebut ilmu perubatan tradisional Melayu semakin mendapat perhatian, tetapi perlu ada usaha lebih gigih untuk menyebarluaskannya.

"Ia perlu dikaji oleh penyelidik dari pelbagai bidang, selain perlu ditulis semula dalam bahasa yang lebih mudah difahami," katanya pada majlis yang turut dihadiri Pengarah APM UM, Profesor Madya Dr Puteri Roslina Abdul Wahid.

Harun berkata, sehingga kini kajian ilmu perubatan tradisional ditangani pelbagai pihak, antaranya Universiti Sains Malaysia (USM), selain mendapat perhatian daripada pengamal perubatan seperti klinik perubatan tradisional, perubatan Islam dan perubatan komplimentari.

Usaha sama pelbagai pihak

Malah, beliau sendiri terbabit dengan usaha yang dilakukan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Kesihatan.

"Antara projek yang dibuat adalah membina semula ilmu perubatan Melayu dan Islam bersumberkan manuskrip Melayu, selain ada juga projek penyelidikan tumbuhan yang boleh dijadikan ubat-ubatan.

"Buku Kitab Al Rahmah yang ditulis oleh Dr Mohd Affendi Mohd Shahfri, yang menjadi model terbaik dalam penerbitan edisi dan kajian ilmu perubatan Melayu," katanya.

Harun berkata, ilmu perubatan Melayu pada umumnya terkandung dalam manuskrip lama yang dikenali sebagai kitab tib.

"Bagaimanapun, kitab tib tidak hanya memfokuskan pada hal ehwal perubatan, sebaliknya ia juga memuatkan pelbagai ilmu seperti ilmu ramalan rejang, takbir mimpi dan ilmu berahi.

"Selain yang tertulis dalam kitab tib, terdapat juga dalam judul atau kategori lain, misalnya kitab mujarabat, kitab rejang, raksi (misalnya Syair Laksana Kita) atau hikayat seperti Hikayat Nurul Lisan Menjawab Masalah dan kitab tib yang tipikal, iaitu Kitab Tajul Muluk yang begitu lama dikenali dalam masyarakat Melayu," katanya.

Sejarah perkembangan ilmu perubatan melayu

Harun berkata, sejarah bermula dan berkembangnya ilmu perubatan Melayu tradisional bukan dari India dan China, sebaliknya datang dari dua sumber, iaitu tempatan dan Islam.

"Sumber tempatan itu adalah pengetahuan Melayu Nusantara terhadap tumbuhan ubat-ubatan dalam kalangan orang asal yang sudah memiliki dan mengamalkannya dalam kehidupan mereka sejak dulu. Ilmu itu bersifat animisme tidak diperoleh daripada mana-mana sumber dalaman dan luaran," katanya.

Beliau berkata, falsafah perubatan Melayu tradisional berbeza dengan rawatan moden kerana ia bukanlah mengubati penyakit, tetapi mengetahui dan mengenali sumber penyakit itu sebelum diubati.

Sehingga kini terdapat antara 60 hingga 120 naskhah kitab tib di seluruh dunia dengan Malaysia menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menyimpan koleksi terbanyak, manakala bakinya disimpan di negara Kepulauan Melayu dan di luar rantau ini seperti Britain, Belanda serta Sri Lanka.

Berita Harian X