Isnin, 27 March 2017 | 12:05am
ANIMATOR 3D, Aimi Nazurah Abdullah (kanan) ketika membuat lakaran animasi Alif & Sofia. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
ANIMATOR 3D, Aimi Nazurah Abdullah (kanan) ketika membuat lakaran animasi Alif & Sofia. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
ANIMATOR 3D, Siti Najihah Zakaria ketika membuat lakaran animasi Alif & Sofia di Blindspot Studios. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
ANIMATOR 3D, Siti Najihah Zakaria ketika membuat lakaran animasi Alif & Sofia di Blindspot Studios. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Ambil risiko beralih arah

DALAM meneroka bidang perniagaan, kita tidak boleh berada terlalu lama dalam zon selesa. Berpegang kepada pendirian itu, Lukman Nul Hakim memberanikan diri dengan mengambil risiko untuk beralih arah.

Beliau yang sebelum ini menjalankan perniagaan perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat (IT) dan multimedia mula berjinak-jinak dengan bidang animasi.

Bercerita mengenai pengalamannya, bapa kepada dua anak perempuan itu memulakan perniagaan dalam bidang IT pada tahun 2005.

Pada waktu itu, perniagaannya beroperasi di Seksyen 2 Shah Alam, Selangor dengan menawarkan perkhidmatan IT dan membekalkan komputer serta barangan lain yang berkaitan.

"Masa itu, operasi perniagaan saya bergantung kepada kontrak dengan pelanggan. Selepas habis satu kontrak, saya perlu mencari projek lain pula untuk meneruskan operasi perniagaan saya.

"Keadaan itu berterusan hingga tahun 2011, saya terfikir sampai bila saya harus begini. Saya mula rasa penat untuk mengejar kontrak dan ia menguatkan tekad saya untuk melakukan sesuatu yang lebih stabil seperti melakukan perniagaan berasaskan produk," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini.

LUKMAN (kiri) bersama Penyelaras Projek, Mohd Fairuzzaman Junos ketika membuat lakaran animasi Alif & Sofia di Blindspot Studios. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
LUKMAN (kiri) bersama Penyelaras Projek, Mohd Fairuzzaman Junos ketika membuat lakaran animasi Alif & Sofia di Blindspot Studios. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Setahun Tidak Bekerja

Menceritakan lebih lanjut, Lukman berkata pada tahun 2009, beliau berkesempatan mengambil kursus pendek dalam bidang animasi dengan Pusat GIAT MARA.

"Saya ambil kursus ini secara suka-suka saja. Saya tidak ada sebarang rancangan untuk menceburi bidang animasi pada waktu itu. Saya memilih program animasi kerana ia hanya mengambil masa selama enam bulan.

"Apabila saya tergerak hati untuk beralih bidang, saya teringat kepada ilmu animasi yang dipelajari dalam kursus itu. Saya mula membuat lebih banyak kajian dan penyelidikan mengenai industri animasi di negara ini.

"Pada 2012, saya mengambil langkah berani dengan menjual perniagaan saya dan menganggur selama setahun. Saya memperuntukkan masa selama setahun itu untuk memberi tumpuan dan mengkaji dengan lebih mendalam mengenai pasaran dan prospek bidang animasi," katanya.

Lukman mendapat sokongan kuat daripada isteri dan keluarganya walaupun beliau tidak mempunyai sebarang pendapatan selama setahun.

"Saya membiayai kehidupan dengan wang hasil jualan perniagaan dan wang simpanan. Walaupun kehidupan pada waktu itu agak mencabar, itu adalah keputusan paling baik yang pernah saya buat dan saya tidak pernah menyesalinya," katanya.

LUKMAN (tiga dari kanan) bersama Penyelaras Projek, Mohd Fairuzzaman Junos (dua dari kiri) dan kru animasi Alif & Sofia di Blindspot Studios, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
LUKMAN (tiga dari kanan) bersama Penyelaras Projek, Mohd Fairuzzaman Junos (dua dari kiri) dan kru animasi Alif & Sofia di Blindspot Studios, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Tubuh Blindspot Studios

Lukman menubuhkan Blindspot Studios pada 2013 dengan lima tenaga kerja pada waktu itu. Pada awalnya, pejabat Blindspot Studios hanya mempunyai sebuah meja dan beliau bersama kakitangannya mengambil masa beberapa bulan untuk membangunkan idea animasi yang dirasakan boleh dijual.

Beliau mendapat panduan dan bimbingan daripada pencipta animasi terkemuka, Boboi Boy iaitu Nizam Razak.

"Apa yang boleh saya katakan, tunjuk ajar Nizam banyak membantu saya memahami mengenai selok-belok industri animasi dengan lebih baik.

"Saya dan kakitangan membuat keputusan untuk menyertai Cabaran Pereka Harta Intelek (IPCC) pada 2013 anjuran Pertubuhan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

"Kami mempertandingkan animasi 'Food Dojo' dan terpilih sebagai pemenang dan menerima geran berjumlah RM50,000. Kejayaan memenangi pertandingan itu nyata melonjakkan semangat saya untuk terus bersaing secara serius dalam industri animasi tempatan dan luar negara," katanya.

Bagaimanapun, laluan Lukman dalam bidang animasi tidaklah semudah itu. Walaupun bergelar pemenang IPCC 2013, Lukman gagal menjual animasi 'Food Dojo' ke pasaran yang lebih luas.

Katanya, kekurangan pengalaman membuatkan pihaknya akur terhadap pasaran animasi.

"Walaupun 'Food Dojo' tidak berjaya menembusi pasaran, kami tidak menoleh ke belakang dan terus bangkit dengan idea animasi seterusnya iaitu 'Tony Jetskate'.

"Animasi ini adalah dalam bahasa Inggeris kerana kami sasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa. Hingga kini, projek animasi ini masih berjalan dan kami masih mencari peluang untuk memasarkannya," katanya.

ANIMATOR 3D, Siti Najihah Zakaria dan Aimi Nazurah Abdullah (kanan) ketika membuat lakaran animasi Alif & Sofia. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
ANIMATOR 3D, Siti Najihah Zakaria dan Aimi Nazurah Abdullah (kanan) ketika membuat lakaran animasi Alif & Sofia. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Alif dan Sofia dapat sambutan hangat

Tahun lalu, Lukman dan kakitangannya membangunkan satu lagi watak animasi secara tidak sengaja.

Menceritakan mengenainya, beliau berkata, watak Alif & Sofia direka bagi mengisi masa lapang selama sebulan yang mereka ada.

"Kami muat naik video Alif & Sofia di laman YouTube dan tanpa disangka-sangka, video itu menjadi viral. Alif & Sofia berkisar mengenai pasangan adik beradik berumur lima tahun (Alif) dan kakaknya yang berusia tujuh tahun.

"Alif dan Sofia menerapkan unsur Islamik dengan mendidik anak kecil mengenal Jawi dan berselawat. Hingga kini, laman Facebook Alif & Sofia sudah mempunyai lebih 47,000 pengikut," katanya.

Melihat kepada potensi luar jangkaan yang ada pada animasi Alif & Sofia, pihak Blindspot Studios membuat keputusan untuk mengembangkan lagi jenama animasi berkenaan.

"Kami merancang menerbitkan siri televisyen Alif & Sofia berdasarkan kepada sambutan baik yang kami terima setiap kali siri animasi itu dimuat naik di laman YouTube.

"Kami akan memperkemas kandungan dan mesej yang dibawa oleh Alif & Sofia supaya ia sesuai untuk tontonan anak kecil," katanya.

PENYELARAS Projek, Mohd Fairuzzaman Junos ketika membuat lakaran animasi Alif & Sofia di Blindspot Studios. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
PENYELARAS Projek, Mohd Fairuzzaman Junos ketika membuat lakaran animasi Alif & Sofia di Blindspot Studios. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Profil:

  • Nama: Lukman Nul Hakim Othman

  • Umur: 38 tahun

  • Asal: Kulai, Johor

  • Kelulusan: Lepasan Pusat GIAT MARA

  • Pengalaman: Menjalankan perniagaan dalam bidang teknologi maklumat dan multimedia

  • Pencapaian: Pemenang IPCC 2013.
Berita Harian X