Khamis, 23 March 2017 | 12:03am

Karyawan Pk terbit 15 antologi angkat bandar, pekan di Perak

ZABIDIN menunjukkan 15 antologi berasaskan bandar dan pekan di Perak yang diterbitkan bagi mempromosi Tahun Melawat Perak 2017. - Foto ihsan pembaca
ZABIDIN menunjukkan 15 antologi berasaskan bandar dan pekan di Perak yang diterbitkan bagi mempromosi Tahun Melawat Perak 2017. - Foto ihsan pembaca

TANJUNG MALIM: Penerbitan 15 antologi berasaskan bandar dan pekan di Perak membantu untuk menyemarakkan promosi Tahun Melawat Perak 2017 (TMP17).

Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk), Zabidin Ismail, berkata kejayaan pihaknya menerbitkan antologi itu juga menandakan sokongan golongan pengarang sastera dan kreatif terhadap program TMP 2017.

Kelainan penerbitan antologi

"Penerbitan antologi itu juga mencipta kelainan, malah kejayaan dalam menyelenggarakannya juga disebabkan mendapat sokongan baik daripada kalangan penulis," katanya kepada Sastera & Budaya, di sini.

Antologi itu dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Majlis Penyampaian Hadiah Karya Darul Ridzuan Ke-5 di Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (PULARA7) di Pulau Pangkor.

Puisi tentang bandar dan pekan dari kaca mata pengarang sastera serta kreatif itu mengetengahkan keunikannya seperti Ipoh- Bandar Raya Gunung; Kuala Kangsar - Bandar Diraja; Bagan Datoh - Bandar Di Tepi Muara dan Pangkor - Pekan Di Selat Dinding.

Antara judul yang diterbitkan ialah Parit Buntar - Bandar Jelapang Padi; Tanjong Malim - Bandar Mualim; Teluk Intan - Bandar Menara Condong; Selama - Pekan Di Tepi Sempadan; Batu Gajah - Pekan Bijih Timah dan Kampar - Bandar Di Sisi Banjaran.

Mengandungi 1,003 sajak

Sebanyak 1,003 sajak karya 109 penulis dimuatkan dalam antologi itu seperti Zambry dan Sasterawan Negara (SN), Prof Emiretus Dr Muhammad Salleh, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Datuk Baharudin Zainal (Baha Zain) serta Datuk Dr Zurinah Hassan.

Turut menyumbangkan karya ialah penyair dari Jakarta, Madura dan Padang, selain penulis tanah air.

Berita Harian X