Khamis, 23 March 2017 | 12:03am
KOREA Selatan perlu mengadakan pilihan raya presiden dalam tempoh 60 hari atau 9 Mei ini, untuk memilih presiden ke-12.
KOREA Selatan perlu mengadakan pilihan raya presiden dalam tempoh 60 hari atau 9 Mei ini, untuk memilih presiden ke-12.

Siapa Presiden Korea Selatan?

LAMBAIAN penuh bermakna pemimpin terbaharu Korea Selatan, Moon Jae-In sebaik mengangkat sumpah sebagai presiden ke-12 negara itu.
LAMBAIAN penuh bermakna pemimpin terbaharu Korea Selatan, Moon Jae-In sebaik mengangkat sumpah sebagai presiden ke-12 negara itu.

KOREA Selatan menjadi tumpuan baru-baru ini berikutan pemecatan Presiden Park Geun-hye akibat skandal rasuah apabila Mahkamah Perlembagaan mengekalkan undi tidak percaya Parlimen Disember lalu.

Geun-hye, presiden dipilih pertama secara demokratik disingkirkan, dituduh bersekongkol dengan rakan baiknya, Choi Soon-sil untuk memberi tekanan kepada syarikat konglomerat menyumbang dalam pertubuhan tanpa keuntungan bagi menyokong inisiatif presiden.

Persoalan siapa yang bakal menerajui negara keempat ekonomi terbesar di Asia itu masih menjadi tanda tanya.

Susulan pemecatan Geun-hye 10 Mac lalu, Korea Selatan perlu mengadakan pilihan raya presiden dalam tempoh 60 hari atau 9 Mei ini, untuk memilih presiden ke-12.

Tinjauan pendapat menunjukkan rakyat Korea Selatan akan membuat perubahan dengan memilih pemimpin liberal ke Rumah Biru, menamatkan pemerintahan konservatif selama sembilan tahun.

Setakat ini, lima calon disenarai pendek dalam tinjauan pendapat termasuk bekas pemimpin pembangkang Parti Demokratik, Moon Jae-In, 64, yang mendapat undian tertinggi 32 peratus diikuti Gabenor Chungcheongnam, Ahn Hee-jung , 51, dengan 17 peratus.

Calon lain yang tersenarai adalah Ahn Cheol-Soo, 51, bekas doktor dan ahli perniagaan komputer; Hwang Kyo-Ahn, 59, Perdana Menteri Korea Selatan yang juga Pemangku Presiden ketika ini, namun dikatakan menarik diri serta Lee Jae-Myeong, 52, Datuk Bandar Seongnam.

MULA berpacaran dengan isteri, Jong-suk ketika menuntut di universiti sama.
MULA berpacaran dengan isteri, Jong-suk ketika menuntut di universiti sama.

Sebelum ini, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengumumkan beliau tidak bertanding, walaupun sebelum itu menawar diri mengisi jawatan nombor satu negaranya.

Kemungkinan faktor penarikan diri Ki-moon disebabkan skandal rasuah melingkari adik lelaki dan anak saudaranya dalam projek pembinaan di Vietnam.

Menurut tinjauan Gallup Korea, Jae-In dikatakan calon paling layak memimpin Korea Selatan kerana berpengalaman dalam selok belok politik selain pernah menjadi ahli parlimen dan pemimpin pembangkang utama, namun tewas kepada Geun-hye dalam pilihan raya 2012.

Jae-In, seorang peguam hak asasi manusia yang lahir di Geoje juga adalah pemimpin Parti Minjoo dari 2015 dan 2016, dianggap liberal sama seperti ketuanya, bekas Presiden Roh Moo-hyun yang membunuh diri.

Namun, sebilangan pemerhati politik menggambarkan ayah dua anak itu tidak tegas dan mengambil pendekatan berlembut dengan Korea Utara, malah sanggup bertemu pemimpinnya, Kim Jong-un jika dipilih sebagai presiden dalam menangani isu senjata nuklear.

Jae-in mengkritik dua bekas presiden konservatif, Geun-hye dan penyandangnya, Lee Myung-bak, kerana melewatkan perkembangan hubungan dalaman Korea dimulakan pentadbiran liberal sebelumnya.

JAE-In ketika menyertai angkatan tentera Korea Selatan pada 1976.
JAE-In ketika menyertai angkatan tentera Korea Selatan pada 1976.

Beliau menggesa pendekatan 'dua langkah' ke atas Pyongyang, dengan rundingan pertama 'penyatuan ekonomi' dan akhirnya 'politik dan ketenteraan.'

Beliau baru-baru ini menegaskan perlunya 'menarik dan bersatu' dengan rakyat Korea Utara, menambah tidak dapat menerima rejim diktator atau menindas hak asasi sambil mengutuk tindakan kejam dan tanpa perikemanusiaan terhadap pembunuhan Kim Jong-nam di Malaysia.

Bercakap kepada media baru-baru ini, Jae-in menyebut dasar Moo-hyun dan penyandang sebelum itu, pemenang anugerah Nobel Kim Dae-jung, arkitek di sebalik 'dasar matahari', sebagai inspirasi di sebalik cubaannya menjadi presiden.

Pada masa sama Jae-in dikatakan teragak-agak melaksanakan sistem pertahanan anti-peluru berpandu Kawasan Terminal Altitud Tinggi (THAAD) Amerika Syarikat (AS) susulan tekanan China.

Beliau juga berjanji menyokong penghapusan amalan 'chaebol' atau warisan keluarga seperti skandal Geun-hye dan Soon-sil.

Selain Jae-In, Hee-jung yang dilihat pencabar terdekat Jae-in yang pernah bekerja bersamanya dulu.

Bekas pembantu pentadbiran Moo-hyun ketika Jae-in memegang jawatan Ketua Turus Kakitangan itu digelar 'Obama Korea Selatan', sebaliknya menyokong penuh usaha membangunkan sistem THAAD demi keselamatan negara.

Hee-jung yang ditemuramah baru-baru ini berkata, sekiranya terpilih menjadi presiden, beliau akan mengurangkan kebergantungan Seoul terhadap AS dan meneruskan perbincangan dengan Pyongyang bagi menghentikan pembangunan senjata nuklear.

Beliau berharap, Korea Selatan, China dan Jepun akan bergabung kuasa membina komuniti Asia dan mengekalkan keamanan berdasarkan kerjasama rapat ekonomi, politik dan ketenteraan.

Biodata Moon Jae-In

Lahir: 24 Januari 1953

Tempat lahir; Geoje, Korea Selatan

Parti Politik: Parti Demokratik

Isteri: Kim Jeong-suk

Anak: 2 orang

Pendidikan: Sekolah Tinggi Kyungnam, Universiti Kyunghee (undang-undang) dan pernah menyertai Angkatan Tentera Khas.

Pengalaman: Menjadi Ketua Turus Kakitangan ketika pentadbiran Presiden Roh Moo Hyun.

2012-Calon presiden namun tewas dengan Geun-hye

2007-Ahli Dewan Negara Sasang-gu, Busan

2008-Ketua Setiausaha Presiden

2005-2006-Setiausaha Kanan Presiden bagi Hal Ehwal Masyarakat pada 2005-2006

2003-2004-Setiausaha Kanan Presiden bagi Hal Ehwal Awam pada 2003-2004.

Biodata Ahn Hee-jung

Lahir: 1 Mei 1965

Tempat lahir: Nonsan, Korea Selatan.

Parti politik: Parti Minjoo

Jawatan sekarang: Gabenor ke 36 dan 37 di Wilayah Chungcheongnam-do

Pendidikan: Sekolah Tinggi di Daejeon, Universiti Korea (Falsafah)

Pengalaman: Pembantu Kanan ketika pentadbiran Presiden Roh Moo Hyun

1994-Setiausaha Agung Institut Kerajaan Tempatan, Amalan Penyelidikan

2001-Setiausaha Agung Kem Pemilihan Calon Presiden Roh Moo-hyun

2002- Ketua Pasukan Hal Ehwal Politik, Pejabat Setiausaha Parti Demokratik Calon Presiden Roh, Moo-hyun

2005-Penyelidik Institut Kajian Asia di Korea Universiti

2009-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Parti Demokratik

2010-2014 Gabenor Wilayah Chungcheongnam

INFO: Pilihan Raya Korea Selatan

-Pilihan raya Presiden ke-19 dijadualkan 9 Mei 2017 susulan pemecatan Park Geun-hye

-Mengikut undang-undang terkini, pilihan raya diadakan dalam pusingan tunggal

-Pada asalnya dijadual diadakan pada atau sebelum 20 Disember 2017, namun dipercepatkan.

-Ketika ini Perdana Menteri Hwang Kyo-ahn memangku jawatan presiden

-Kyo-ahn memberi bayangan beliau tidak akan bertanding sebagai presiden

-Presiden dipilih untuk penggal lima tahun.

-Pada tahun 2012, mesin pengimbas optik digunakan untuk mengira undi.

-Sistem pilihan raya Korea Selatan dianggap model terbaik.

Berita Harian X