KUALA LUMPUR: Tujuh kereta dan dua motosikal yang diletakkan di tempat letak kenderaan apartmen Alpha Villa, dekat Wangsa Maju, di sini rosak teruk selepas dihempap bumbung salah sebuah blok yang diterbangkan angin kuat, malam tadi.
Kejadian sekitar jam 10 malam tadi ketika hujan lebat yang turut disertai dengan angin kencang.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.04 malam dan menggerakkan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba Wangsa Maju dan tiba di lokasi 12 minit kemudian.
"Bumbung rumah di bahagian atas terjatuh dan menghempap sembilan kenderaan termasuk dua motosikal.
"Bagaimanapun, kejadian tidak membabitkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, bomba bersama pihak polis mengambil tindakan mengeluarkan kenderaan dari kawasan terbabit selain melakukan kawalan bagi memastikan kawasan itu selamat.
Jumlah kerugian akibat kejadian masih dalam siasatan.