Rabu, 12 Julai 2017 | 7:01pm

8 mengaku salah merusuh guna senjata

LAPAN lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan berhimpun dan merusuh menggunakan senjata di Bandar Baru Menglembu pada 2 Julai lalu. - Foto L Manimaran **301500
LAPAN lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan berhimpun dan merusuh menggunakan senjata di Bandar Baru Menglembu pada 2 Julai lalu. - Foto L Manimaran **301500

IPOH: Lapan lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan berhimpun dan merusuh menggunakan senjata pada 2 Julai lalu.

Tertuduh, M Magiesvaran, 23; S Loggarajan, 27; R Satish Kumar, 27; M Ilageswaran, 28; A Joseph Raj, 29; S Krishnan, 30; K Selva Ganapathy, 31; dan P Velmurugan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Majistret kemudian menetapkan hukuman denda RM1,000 dan penjara 14 hari terhadap Loggarajan; denda RM1,000 dan penjara tujuh hari kepada Joseph Raj, Selva Ganapathy, Velmurugan dan Magisvaran manakala tiga lagi, Satish Kumar, Ilageswaran dan Krishnan, masing-masing dikenakan hukuman denda RM1,000.

Mahkamah memerintahkan semua tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda ditetapkan.

Mereka dituduh menganggotai satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan menggunakan senjata yang boleh membawa maut atau apabila digunakan sebagai senjata boleh menyebabkan kecederaan terhadap P Kechan Kumar, 21; S Adwinray, 23; dan S Sutagar, 29.

Mereka didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu di Lorong Kledang Timur 10, Bandar Baru Menglembu di sini, pada jam 6.30 petang, 2 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Kamarul Abraf manakala semua tertuduh diwakili peguam, Farihah Arshad.

Berita Harian X