Rabu, 12 Julai 2017 | 6:33pm

Anggota bomba ikat, pikul lelaki cuba bunuh diri

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menyelamatkan seorang lelaki dipercayai cuba membunuh diri yang ditemui terapung di tengah laut dua kilometer dari Jeti Marina, Kota Laksamana. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menyelamatkan seorang lelaki dipercayai cuba membunuh diri yang ditemui terapung di tengah laut dua kilometer dari Jeti Marina, Kota Laksamana. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri terpaksa mengikat tangan dan kaki seorang lelaki serta memikulnya ke ambulans selepas enggan memberi kerjasama ketika diselamatkan dalam kejadian cubaan bunuh diri di Jeti Marina, Kota Laksamana di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, lelaki dipercayai warga Indonesia berusia 30-an yang hanya berseluar dalam itu ditemui terapung di tengah laut, pada jarak dua kilometer dari jeti berkenaan oleh nelayan, sebelum menghubungi pihak bomba.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Penguasa Bomba Kanan II, Razali Che Ara, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.11 pagi, sebelum sepasukan lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, sejurus tiba anggotanya terpaksa meminta bantuan pemilik bot untuk ke lokasi kejadian, namun ketika didekati, lelaki itu enggan memberikan kerjasama walaupun kelihatan pucat, kepenatan dan takut.

"Selepas usaha memujuknya gagal, anggota bomba cuba mengikat badan lelaki itu menggunakan tali, tetapi dia mengelak dan menyelam seketika sebelum timbul semula.

"Melihat lelaki itu sudah kepenatan, anggota terus memegang tangan lalu menariknya masuk ke dalam bot," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razali berkata, pihaknya kemudian terpaksa mengikat tangan dan kaki lelaki itu kerana dia meronta-ronta dipercayai mahu melarikan diri.

"Selepas itu, anggota kami terpaksa memikul lelaki terbabit dari jeti ke ambulans bagi mengelakkan dia melarikan diri, sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Berita Harian X