Rabu, 12 Julai 2017 | 5:43pm

Hormat usaha Malaysia tahan PATI - Lee

NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), TanSri Lee Lam Thye. - Foto Danial Saad
NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), TanSri Lee Lam Thye. - Foto Danial Saad

KUALA LUMPUR: Kerajaan asing perlu menghormati usaha Malaysia menahan dan menghantar pulang pendapatan asing tanpa izin (PATI) menerusi operasi besar-besaran 'Op Mega E-Kad' di seluruh negara.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), TanSri Lee Lam Thye, berkata ini kerana Jabatan Imigresen sudah memberikan tempoh yang lebih daripada mencukupi untuk majikan dan PATI menyertai program kad sementara atau 'Enforcement Card' (E-Kad).

Katanya, adalah tidak wajar untuk Jabatan Imigresen melanjutkan tarikh pendaftaran E-Kad kerana majikan dan pekerja asing di negara ini telah diberikan tempoh yang secukupnya sejak 15 Februari lepas.

"Kerjaan Indonesia juga perlu menyokong usaha ini kerana dilaporkan terdapat kira-kira 1.3 juta PATI dari negara itu di Malaysia pada masa ini.

"Peringatan juga telah diberikan puluhan kali menerusi pelbagai saluran media dan tidak ada sebarang alasan boleh diterima jika mereka gagal berbuat demikian.

"Tindakan tegas Jabatan Imigresen dan agensi penguatkuasaan dalam Op Mega E-Kad perlu disokong semua pihak kerana ia jelas menggambarkan bahawa kerajaan Malaysia tidak lagi bertolak ansur dalam hal yang membabitkan keselamatan, kedaulatan dan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas arahan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali bahawa pihaknya tidak akan melanjutkan tempoh pendaftaran E-Kad kerana peluang sudah diberikan sejak Februari lalu lagi.

Mustafar berkata, pada 28, 29 dan 30 Jun, operasi pendaftaran E-Kad di pejabat Imigresen di seluruh negara akan dibuka sehingga 12 tengah malam bagi membolehkan para majikan merebut peluang mendaftarkan pekerja asing masing-masing.

Hal ini kerana, beliau amat kecewa berikutan hanya 21,789 majikan yang tampil mendaftarkan pekerja masing-masing.

"Program yang kita lancarkan sejak 15 Februari lalu adalah percuma tetapi masih lagi majikan tidak ambil kisah atau peduli dengan peluang disediakan," katanya.

Berita Harian X