Rabu, 12 Julai 2017 | 5:19pm

Datuk Seri maki polis kena 'cekup'

FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik lapan buah restoran bergelar Datuk Seri ditahan selepas mengeluarkan kata-kata lucah kepada anggota Polis Trafik Kuala Lumpur, yang bertindak menahan seorang rakannya, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.20 pagi itu, lelaki terbabit datang ke pejabat Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), di Jalan Bandar, di sini, sebelum mengarahkan anggota polis membebaskan rakannya yang ditahan kerana dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Difahamkan lelaki berusia 45 tahun itu melemparkan kata-kata lucah dan kesat terhadap anggota polis yang bertugas walaupun sudah berkali-kali diberikan amaran supaya tidak mengulangi kata-kata berkenaan.

Malah, dia yang juga pembekal makanan laut, dipercayai turut menunjuk isyarat lucah tangan dan tidak menghormati semua lapan anggota polis yang sedang bertugas.

Sumber berkata, tindakan lelaki terbabit seolah-olah cuba menunjukkan kepada rakannya yang ditahan kononnya dia mempunyai kuasa bagi membebaskan rakannya atas kesalahan yang dilakukan.

"Dia memberitahu anggota polis yang bertugas 'You orang tak kenal saya siapa ha?' kononnya merujuk dia bergelar Datuk Seri," katanya kepada BH sebentar tadi.

Dia kemudian ditahan dan diserahkan kepada Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut atas kesalahan menghina dan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata suspek kini ditahan reman selama sehari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Setakat ini lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Polis," katanya.

Berita Harian X