Rabu, 12 Julai 2017 | 5:14pm

Kecoh ketika tunggu jenazah anak

WANITA berusia 22 tahun yang juga ibu budak lelaki yang dipercayai didera, difahamkan mengandung tujuh bulan tiba-tiba mengerang kesakitan ketika sedang menunggu jenazah anak lelakinya itu menjalani proses bedah siasat.
WANITA berusia 22 tahun yang juga ibu budak lelaki yang dipercayai didera, difahamkan mengandung tujuh bulan tiba-tiba mengerang kesakitan ketika sedang menunggu jenazah anak lelakinya itu menjalani proses bedah siasat.

BATU PAHAT: Suasana di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, kecoh seketika, apabila ibu kandung kanak-kanak lelaki yang meninggal dipercayai akibat didera semalam, tiba-tiba menjerit kesakitan.

Wanita berusia 22 tahun itu yang difahamkan mengandung tujuh bulan tiba-tiba mengerang kesakitan ketika sedang menunggu jenazah anak lelakinya itu menjalani proses bedah siasat.

Wanita berkenaan yang ditemani ahli keluarganya itu pada mulanya dilihat hanya duduk di hadapan Unit Perubatan Forensik sebelum dilihat menangis hiba.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa yang turut hadir di HSNI turut dilihat menemui ibu kandung mangsa dan keluarganya.

Namun 15 minit selepas itu, wanita berkenaan tiba-tiba mengerang kesakitan dan memegang perutnya sebelum pengawal keselamatan hospital menghantarnya ke Unit Kecemasan HSNI.

Semalam BH melaporkan, selepas enam hari bertarung nyawa, anak wanita berkenaan yang berusia 21 bulan dan dipercayai mangsa dera, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNI, tengah hari semalam.

Muhamad Al Fateh Abdullah yang bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan meninggal dunia jam 12.45 tengah hari.

Berita Harian X