Rabu, 12 Julai 2017 | 4:47pm

2 warga Perancis sesat ditemui selamat

 DUA lelaki warga Perancis Arthur Panriello (kanan) dan Nocholas Chhoy yang sesat ketika mendaki di Hutan Brinchang di sini sejak semalam ditemui selamat oleh anggota bomba. - Foto Ihsan Bomba
DUA lelaki warga Perancis Arthur Panriello (kanan) dan Nocholas Chhoy yang sesat ketika mendaki di Hutan Brinchang di sini sejak semalam ditemui selamat oleh anggota bomba. - Foto Ihsan Bomba

CAMERON HIGHLANDS: Dua lelaki warga Perancis yang sesat ketika mendaki di Hutan Brinchang di sini sejak semalam ditemui selamat hari ini.

Arthur Panriello dan Nicholas Chhoy, masing-masing berusia 25 tahun ditemui selamat pada jam 11.53 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhamad Haziq Hazmi, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada pihak hotel kedua-dua mangsa menginap yang memaklumkan mangsa tidak pulang ke hotel berkenaan pada jam 7.07 malam semalam.

Katanya, pihak hotel turut memaklumkan kedua-dua mangsa mendaki gunung berkenaan dan gagal menemui jalan keluar ketika berada berhampiran sungai.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di kawasan berkenaan namun tidak menemui kedua mangsa sebelum operasi itu ditangguhkan pada jam 9 malam tadi.

"Operasi SAR diteruskan pada jam 9.20 pagi tadi dengan membahagikan pasukan kepada tiga kumpulan.

"Ketika pasukan SAR memasuki ke kawasan tangki air Ladang Big Red Strawberry, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat namun lemah pada jam 11.22 pagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan untuk pemeriksaan kesihatan sebelum pulang ke hotel dan operasi tamat pada jam 12.40 tengah hari tadi.

Berita Harian X