Rabu, 12 Julai 2017 | 3:53pm
PENERBIT drama, Datuk Rafena Ezanee Ramli bersama peguamnya hadir ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir
PENERBIT drama, Datuk Rafena Ezanee Ramli bersama peguamnya hadir ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

4 hari bicara kes Rafena, Didie Alias

PELAKON, Didie Alias bersama peguamnya hadir ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir
PELAKON, Didie Alias bersama peguamnya hadir ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan empat hari bermula 14 November depan untuk perbicaraan tuntutan saman ganti rugi oleh penerbit drama, Datuk Rafena Ezanee Ramli terhadap pelakon Didie Alias.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohamad memutuskan tarikh itu selepas menemui peguam plantif dan defendan di dalam kamar mahkamah.

Berdasarkan writ saman itu, Rafena dan syarikat penerbitannya, Dark Wave Pictures Sdn Bhd selaku plaintif menamakan Didie atau Fadzilah Mohammad sebagai defendan.

Ia difailkan di kaunter pendaftaran Mahkamah Sesyen melalui firma guaman Tetuan Zamri Idrus & Co pada 21 Mac lalu. 

Dalam pernyataan tuntutan itu, plaintif menyatakan defendan adalah penerbit eksekutif bagi satu rancangan travelog 13 episod iaitu 'Street Food Asian' yang juga program terbitan Dark Wave.

Defendan didakwa sengaja, cuai atau gagal memastikan mutu travelog itu berada pada tahap yang memuaskan seperti termaktub dalam perjanjian yang dimeterai pada 7 Oktober tahun lalu, sehingga menyebabkan plaintif mengalami kerugian.

Selain itu, defendan juga didakwa sengaja mengaibkan plaintif mengenai pengeluaran dan penerbitan travelog berkenaan di dalam laman Instagram dan akhbar sehingga terdapat komen yang menjatuhkan maruah.

Plaintif yang mengalami kerugian, trauma dan tekanan emosi menuntut ganti rugi khas sebanyak RM7,000 serta ganti rugi am RM400,000.

Sementara itu, peguam Mohd Fadhly Hashim yang mewakili plaintif berkata, pihaknya akan mengemukakan enam saksi termasuk Rafena untuk memberi keterangan dalam perbicaraan.

Berita Harian X