Rabu, 5 Julai 2017 | 4:28pm

'Lamborghini terbang' di  Persiaran Teknologi Subang

SEBUAH Lamborghini rosak teruk selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Jalan Persiaran Teknologi Subang, Subang Jaya, semalam.
SEBUAH Lamborghini rosak teruk selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Jalan Persiaran Teknologi Subang, Subang Jaya, semalam.

SUBANG JAYA: Sebuah Lamborghini rosak teruk selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Jalan Persiaran Teknologi Subang, dekat sini.

Kereta itu yang dilandu seorang lelaki dipercayai terbabas dan melanggar sebuah kereta lain ketika hendak membelok ke Persiaran Teknologi Subang jam 5.13 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad, berkata selepas mengelak dari melanggar bahagian belakang PERODUA Myvi itu, pemandunya hilang kawalan menyebabkan kenderaannya 'terbang' ke atas pembahagi jalan sebelum melanggar sebuah PROTON Persona yang berhenti di lampu isyarat.

"Kejadian mengakibatkan Lamborghini itu rosak teruk manakala dua lagi kenderaan hanya mengalami kerosakan kecil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kamaludin berkata, pihaknya tidak dapat memastikan mengenai kecederaan pemandu Lamborghini itu kerana difahamkan tiada laporan dibuat setakat ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga mengakibatkan kemalangan.

Berita Harian X