Selasa, 4 Julai 2017 | 4:04pm

Disamun wanita baru dikenali

KUALA LUMPUR: Polis giat memburu dua lelaki yang dipercayai bersubahat dengan seorang wanita dalam menyamun lelaki warga Bangladesh di sebuah bilik hotel di Jalan Petaling di sini, kelmarin.

Wanita berusia 20 tahun yang dipercayai mendalangi kejadian itu ditahan semalam, hasil siasatan dan maklumat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10 malam selepas wanita bersama dua suspek lelaki terbabit mengunjungi bilik mangsa.

"Mereka ke bilik mangsa yang juga seorang pemilik kedai runcit di Kota Bharu, Kelantan dan menginap hotel berkenaan sepanjang berada di ibu negara.

"Ketiga-tiga suspek dipercayai merampas wang tunai, telefon bimbit dan pasport mangsa sebelum melarikan diri," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Katanya, polis kini meneliti sama ada ketiga-tiga suspek mempunyai kaitan dengan beberapa kejadian samun yang dilaporkan sebelum ini menggunakan kaedah sama.

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali wanita terbabit di ibu negara sebelum kejadian itu," katanya.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkawan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian dan dua lelaki terbabit diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 atau tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Berita Harian X