Khamis, 29 Jun 2017 | 3:08pm

Bapa pukul anak dihukum penjara 2 tahun

SANDAKAN: Seorang bapa dihukum penjara dua tahun selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memukul dua anak perempuannya berusia lapan dan 12 tahun menggunakan tali pinggang, pada 17 Jun lalu.

Mohd Yunos Md Said, 37, yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendera kanak-kanak dijatuhkan hukuman itu selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Faelly Jeffry Lanjungan.

Faelly memerintahkan tertuduh dihukum penjara masing-masing 12 bulan bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh ditangkap ketika prosiding di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama setahun selepas Faelly memerintahkan hukuman terhadap kedua-dua pertuduhan itu dilaksanakan serentak.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Yunos memukul kedua-dua anaknya dengan menggunakan tali pinggang menyebabkan kesan lebam di tubuh kedua-dua mangsa dalam kejadian di Kampung Pulau Nunuyan, di sini pada kira-kira jam 3 petang, 17 Jun lalu.

Ibu mangsa yang melihat kejadian itu cuba menghalang tertuduh daripada terus memukul kedua-dua anaknya, namun gagal menyebabkan ibu mangsa membuat laporan polis.

Tertuduh kemudian ditangkap di kawasan Sungai Batang, Batu 10, pada kira-kira jam 3 petang, 22 Jun lalu dan mengaku melakukan penderaan terhadap anaknya disebabkan tekanan perasaan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Tan Hiap Wah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X