Ahad, 25 Jun 2017 | 6:09pm

Kerjasama erat Malaysia, Indonesia jamin keselamatan sempadan

BRIG Jen Mohd Bustaman Mat Zin (kanan) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada Kolonel Bambang di Pos Gabungan Entikong, hari ini. - Foto ihsan Markas 3 Briged
BRIG Jen Mohd Bustaman Mat Zin (kanan) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada Kolonel Bambang di Pos Gabungan Entikong, hari ini. - Foto ihsan Markas 3 Briged

ENTIKONG (Kalimantan Barat, Indonesia) : Keakraban Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) menjamin keamanan dan keselamatan di sempadan Malaysia dan Indonesia, khususnya di antara Sarawak dan Kalimantan Barat.

Panglima 3 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin, berkata kehadiran anggota tentera dua negara yang bergabung dalam operasi di sempadan berjaya membendung banyak aktiviti yang mampu menggugat keselamatan negara.

Beliau berkata, kerjasama yang terjalin sejak sekian lama akan diteruskan dengan tentera kedua-dua negara akan terus mencari kaedah berkesan untuk menangani masalah sempadan mengikut keadaan semasa.

"Kehadiran kita (TDM dan TNI-AD) di sempadan bukan sahaja menunjukkan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara, tetapi yang paling utama kita menjadi benteng pertahanan dan keselamatan di sempadan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bingkisan Aidilfitri Sumbangan Kerajaan Negeri Sarawak kepada anggota TDM dan TNI-AD di Pos Gabungan Malaysia-Indonesia Entikong, di sini, hari ini.

Ketibaan beliau di pos berkenaan disambut oleh Komandan Komando Resor Militer 121 Alam Bhana Wannawai, Kolonel Infantri Bambang Ismawan.

Bambang turut berada di sempadan untuk menyambut Aidilfitri bersama anggota TNI-AD dari Batalion Infantri 131 Braja Sakti.

Selain itu, di Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Tebedu, turut berlangsung majlis sama yang dihadiri oleh Panglima 1 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw dan Komandan Batalion 131 Braja Sakti, Leftenan Kolonel Denny.

Berita Harian X