Khamis, 22 Jun 2017 | 3:05pm

Edar dadah: Dua pasang kekasih ditahan

KETUA Polis Daerah Barat Daya Supt A. Anbalagan (kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis heroin dan syabu berjumlah RM41,480 yang dirampas dalam dua operasi berasingan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya hari ini.- Foto BERNAMA
KETUA Polis Daerah Barat Daya Supt A. Anbalagan (kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis heroin dan syabu berjumlah RM41,480 yang dirampas dalam dua operasi berasingan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya hari ini.- Foto BERNAMA

BALIK PULAU: Polis menahan dua pasangan kekasih, termasuk seorang daripadanya penjenayah dikehendaki selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dua lelaki dan dua wanita berusia antara 22 hingga 41 tahun itu ditahan secara berasingan di Jalan Dato Ismail Hashim, dekat Bayan Baru, sebelum tangkapan kedua dijalankan di Bukit Jambul.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A Anbalagan, berkata dalam tangkapan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki dan wanita dipercayai pasangan kekasih ketika melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan dipandu suspek, polis menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin dianggarkan seberat 28 gram yang diletakkan di dalam laci bahagian hadapan penumpang.

"Dalam tangkapan kedua pula, kami melakukan serbuan di sebuah pangsapuri didiami suspek lelaki yang turut dikehendaki polis, bersama seorang wanita dipercayai kekasihnya dan menemui dadah jenis heroin seberat 1.5 kilogram (kg) serta syabu seberat 54 gram," katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini, hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM41,480, selain pihaknya turut merampas dua kenderaan milik suspek yang dianggarkan bernilai RM21,800.

Anbalagan berkata, hasil pemeriksaan dokumentasi terhadap semua suspek mendapati dua suspek lelaki terbabit mempunyai beberapa rekod lampau bersabit kesalahan dadah dan jenayah di sekitar daerah Barat Daya.

"Serbuan yang dilakukan di rumah sewa berkenaan mendapati rumah itu dijadikan tempat pembungkusan dadah sebelum diedarkan kepada pengedar.

"Semua suspek terbabit dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu dan mereka ditahan reman bermula hari ini sehingga 27 Jun ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X