Khamis, 22 Jun 2017 | 2:35pm

Peniaga jual mercun didenda RM300

AMPANG: Seorang peniaga kedai makan didenda maksimum RM300 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki pelbagai jenis bunga api, minggu lalu.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Firdaus Sadina Ali ke atas Mohd Nor Safar Mat Darus, 36, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Firdaus turut memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh hari sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki pelbagai jenis bunga api iaitu 10 kotak Happy Boom, 12 kotak Happy Boom Asap, lima kotak Pop-pop Doraemon, lapan kotak Little Cherry dan 20 paket Happy Boom.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan pasaraya KK Mart Jalan Negara, Pusat Bandar Taman Melewati di sini, jam 6.30 petang pada 18 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Peraturan 74, Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 76 yang memperuntukkan denda maksimum RM300, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh membayar denda terbabit.

Berita Harian X