Rabu, 21 Jun 2017 | 8:41pm

Cubaan pecah mesin ATM gagal, 3 lelaki ditahan

Mesin ATM yang dipecahkan oleh suspek di sebuah bank di Jalan TSB 9, Taman Industri Sungai Buloh, Petaling Jaya. - Foto ihsan polis
Mesin ATM yang dipecahkan oleh suspek di sebuah bank di Jalan TSB 9, Taman Industri Sungai Buloh, Petaling Jaya. - Foto ihsan polis

PETALING JAYA: Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai memecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Taman Industri Sungai Buloh, di sini.

Ketiga-tiga suspek terbabit berusia antara 21 hingga 34 tahun ditahan oleh anggota kereta peronda polis (MPV) selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta jenis Honda City, di Jalan TSB 10A, tidak lama selepas kejadian dilaporkan kepada polis

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata kejadian berkenaan dilaporkan sekitar jam 3.25 pagi di bank berkenaan yang terletak di Jalan TSB 9, Taman Industri Sungai Buloh, di bahagian pengeluaran dan penyimpanan wang.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat dua lelaki yang bersenjatakan tukul besi dan kabel besi masuk ke bahagian yang menempatkan beberapa unit mesin ATM dan mesin deposit wang (CDM).

"Suspek mengumpil pada bahagian penutup serta pengunci bahagian bawah mesin ATM berkenaan sebelum cuba menarik keluar mesin dengan menggunakan kabel besi," katanya kepada media.

Mohd Zani, berkata cubaan dua suspek bertopeng itu gagal sebelum mereka melarikan diri bersama seorang lagi suspek dipercayai berada di luar premis berkenaan.

Katanya berdasarkan pemeriksaan suspek gagal melarikan wang tunai.

"Pihak polis yang menerima maklumat kejadian segera mengarahkan anggota polis bersama unit MPV mengadakan rondaan di kawasan berkenaan sebelum memberkas tiga lelaki dipercayai suspek terbabit.

"Berdasarkan pemeriksaan ke atas kereta Honda City, itu kita menemui tali kabel, penukul besi dalam bonet kereta berkenaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X