Khamis, 15 Jun 2017 | 6:31pm

'Dia perlu dapat hukuman setimpal'

WAN Muhammad Hazim.
WAN Muhammad Hazim.

BACHOK: "Saya berharap pemandu treler itu mendapat hukuman yang setimpal," kata Wan Muhammad Hazim Wan Mohd Fauzi, 19, yang kehilangan seluruh ahli keluarganya selepas mereka terkorban dalam nahas jalan raya pada Ahad lalu.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, kejadian itu menyebabkan dia keseorangan untuk meneruskan kehidupan tanpa keluarga.

"Bagi saya, pemandu treler itu sepatutnya memohon maaf dan mengakui kesilapannya namun dia menafikannya (di mahkamah).

"Saya masih bersedih dengan kejadian itu kerana ia menyebabkan saya kehilangan semua ahli keluarga sekali gus ketika mahu menyambut hari yang gembira iaitu Aidilfitri.

"Saya berharap pihak berkuasa akan mengenakan hukuman yang setimpal terhadapnya," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Jelawat di sini, hari ini.

WAN Mohd Hazim menunjukkan gambar arwah bapa dan ibunya ketika ditemui di rumah keluarganya di Jelawat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
WAN Mohd Hazim menunjukkan gambar arwah bapa dan ibunya ketika ditemui di rumah keluarganya di Jelawat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Dalam kejadian di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Negeri Sembilan, Ahad lalu, semua enam ahli keluarga Wan Mohd Hazim, maut akibat rentung iaitu bapanya Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim, 51; ibunya Mas Noraida M Yusoff, 45; abangnya Wan Mohd Muhaimin, 22, dan tiga adiknya Wan Nor Athirah, 18; Wan Mohd Amar Haziq, 13, dan Wan Nor Alisha, 7.

Pemandu treler, Norzailan Omar, 44, didakwa Mahkamah Majistret Kuala Klawang, Negeri Sembilan hari ini.

Bagaimanapun, Norzailan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Berita Harian X