Selasa, 13 Jun 2017 | 2:14pm

Lelaki maut nahas di LPT2

KEADAAN kereta Produa Myvi yang terbabit dalam kemalangan selepas merempuh tumpahan bijih besi di Kilometer 378, Lebuh Raya Pantai Timur2 LPT2, dekat Bukit Besi, pagi ini yang mengorbankan pemandu Myvi Wong Wei Jia, 25 tahun. - Foto Rosli Ilham
KEADAAN kereta Produa Myvi yang terbabit dalam kemalangan selepas merempuh tumpahan bijih besi di Kilometer 378, Lebuh Raya Pantai Timur2 LPT2, dekat Bukit Besi, pagi ini yang mengorbankan pemandu Myvi Wong Wei Jia, 25 tahun. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Seorang lelaki maut selepas Perodua Myvi dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 378 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Bukit Besi di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6 pagi itu, Wong Wei Jia, 25, yang berasal dari Kuantan, Pahang, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Sebelum kejadian, sebuah lori membawa bijih besi dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan dipercayai terbabas sebelum melanggar besi pembahagi lebuh raya.

Kejadian menyebabkan lori yang dalam perjalanan ke Pelabuhan Kemaman terbalik manakala muatan bijih tumpah di laluan bertentangan.  

Pada masa sama, Perodua Myvi dipandu rakan mangsa dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu dipercayai gagal mengelak lalu melanggar tumpahan bijih besi itu sebelum gagal mengawal kenderaan dan terbalik.

Kejadian turut membabitkan dua Honda City yang berada di depan kereta mangsa, namun pemandunya sempat mengelak tumpahan terbabit sebelum merempuh besi penghadang lebuh raya.

Rakan mangsa yang memandu bersama dua rakan penumpang lain hanya cedera ringan, manakala 10 penumpang dalam kedua-dua Honda City terbabit tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Berita Harian X