Ahad, 11 Jun 2017 | 1:30pm

2 penunggang motosikal maut

SHAH ALAM: Dua remaja maut dipercayai akibat lumba haram dalam dua kemalangan di Lebuh Raya Persekutuan dan Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.32 pagi di Kilometer (KM) 12.1 Lebuh Raya Persekutuan dari arah Kuala Lumpur ke Klang, mangsa Haznizam Saiful Haffez Mohammad Istihat, 19, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan motosikal lain, sebelum terbabas dan merempuh besi pembahagi di bahagian kanan jalan.

"Mangsa yang maut menunggang motosikal jenis Yamaha 135Z. Pihak polis juga giat mengesan seorang pemilik motosikal yang terbabit dalam kemalangan ini dan dipercayai melarikan diri selepas kejadian," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Sementara itu, di KM 6.7 Lebuh Raya NKVE, seorang maut manakala seorang lagi cedera parah apabila dua motosikal yang ditunggangi mereka bergesel, sebelum terbabas.

Shafien berkata, kejadian pada jam 3 pagi itu menyebabkan mangsa, Muhammad Faiq Mohd Fahmee, 18, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan perut, manakala Muhammad Irfan Zakir, 19, cedera parah di bahagian kaki.

"Kedua-dua mangsa masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan dari arah Klang ke Kuala Lumpur. Setibanya di lokasi kejadian, motosikal kedua-dua mereka dipercayai bergesel.

"Motosikal Muhammad Faiq terbabas sebelum melanggar tiang lampu dan maut di tempat kejadian. Muhammad Irfan Zakir pula sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil soal siasat terhadap saksi mendapati mangsa dalam kedua-dua kejadian itu dipercayai berlumba haram dan pihak polis sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian untuk siasatan lanjut.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X