Jumaat, 9 Jun 2017 | 1:06am

Empat cedera kemalangan bas ekspres

KEADAAN bas ekspress yang remuk selepas melanggar sebuah bas ekspress lain dalam kejadian di kilometer 81.2 Lebuhraya PLUS Ayer Hitam - Yong Peng Johor. - Foto Ihsan Bomba Johor
KEADAAN bas ekspress yang remuk selepas melanggar sebuah bas ekspress lain dalam kejadian di kilometer 81.2 Lebuhraya PLUS Ayer Hitam - Yong Peng Johor. - Foto Ihsan Bomba Johor

BATU PAHAT: Empat penumpang sebuah bas ekspres cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi bas ekspres di Kilometer 81.2 Lebuh Raya PLUS arah utara Ayer Hitam-Yong Peng.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abd Wahib Musa, berkata kedua-dua bas terbabit dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju Kuala Lumpur sebelum terbabit dalam kemalangan, kira-kira jam 1.20 tengah hari, Khamis.

"Mereka yang cedera masing-masing membabitkan dua lelaki dan dua wanita, manakala 21 lagi penumpang bas berkenaan termasuk dua pemandu tidak cedera.

"Sebuah lagi bas yang dilanggar dari arah belakang membawa 16 penumpang dan kesemua mereka bersama dua pemandu turut tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Katanya, siasatan polis mendapati punca kejadian adalah disebabkan kecuaian seorang daripada pemandu bas terbabit yang melanggar dari belakang. 

Berita Harian X