Jumaat, 2 Jun 2017 | 9:28am

Dapur KD Jebat terbakar

SATU kebakaran kecil telah berlaku di Dapur Kapal Diraja (KD) Jebat awal pagi tadi di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut. - Foto ihsan TLDM
SATU kebakaran kecil telah berlaku di Dapur Kapal Diraja (KD) Jebat awal pagi tadi di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut. - Foto ihsan TLDM

LUMUT: Dapur Kapal Diraja (KD) Jebat terbakar di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, awal pagi ini. 

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, api disedari anggota yang berada di kapal sebelum menghubungi bomba.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dalam satu kenyataan di sini mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kebakaran kecil itu berpunca daripada rumah masak kapal itu ketika anggota sedang melakukan persiapan sahur.

"Tindakan awal anak kapal berjaya mengawal situasi sepenuhnya pada jam 5 pagi daripada terus merebak dengan bantuan pasukan Bomba TLDM. 

"Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa," katanya.

Ahmad Kamarulzaman berkata, TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca kejadian dan nilai kerugian.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata, anggota di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung menerima panggilan jam 3.15 pagi sebelum bergegas ke pangkalan itu dengan bantuan BBP Sitiawan.

Berita Harian X