Selasa, 30 Mei 2017 | 12:12pm

Lelaki parah kemalangan meninggal dunia

KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah semalam. - Foto Amran Yahya
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah semalam. - Foto Amran Yahya

SEREMBAN: Seorang lelaki yang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit Putus, di sini, petang semalam, turut meninggal dunia.

Muhammad Umar Kechik, 30, yang juga pemandu kereta Proton Persona, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, kira-kira jam 5 petang semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.20 petang semalam, ibunya, Sawiyah Hassan, 67, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Md Dali Wahid, berkata isteri Muhammad Umar, iaitu Siska Ria Amri, 32 dan tiga anak mereka yang berusia antara lapan bulan dan lapan tahun, turut cedera dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Katanya, pemandu dan kelindan lori, iaitu Liew Tek Hen, 51 dan Bong Kuan Soon, 22, pula hanya cedera ringan.

"Siasatan awal polis mendapati kereta itu yang dalam perjalanan dari arah Seremban ke Kuala Pilah cuba memotong sebuah kenderaan lain, tetapi bertembung dengan lori dari arah bertentangan," katanya.

Beliau berkata, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pekarangan bilik mayat HTJ dipenuhi saudara-mara mangsa kemalangan, yang menunggu untuk menuntut dua jenazah berkenaan.

Berita Harian X