Jumaat, 26 Mei 2017 | 4:35pm

Budak lelaki parah terkena tembakan bapa

Ahli keluarga mangsa berada di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HKKWS) Likas, Kota Kinabalu, untuk menanti perkembangan Frendly Jukiring yang parah akibat terkena tembakan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk yang dilepaskan ayahnya dalam kejadian di halaman rumah mereka di Kampung Muhang, Kota Marudu. - Foto Amniera Naziera Amran

KOTA MARUDU: Seorang budak lelaki berusia empat tahun parah selepas terkena tembakan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk dilepaskan bapanya di halaman rumah mereka di Kampung Muhang, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa parah di bahagian dada kiri, bahu serta pipi kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Izaan Abdullah, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian bapa mangsa terlepas tembakan dipercayai dari senjata api buatan sendiri jenis bakakuk dan terkena anaknya yang sedang bermain di halaman rumah mereka.

"Berikutan itu, ibu kanak-kanak terbabit segera membawa mangsa ke Hospital Kota Marudu sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) untuk rawatan lanjut.

"Pada jam 9.30 malam tadi, suspek berusia 40-an ditahan di rumahnya namun senjata yang digunakan tidak ditemui," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Berita Harian X